My Add

Tuesday 15 November 2011

Tsu Koon umum pelan kelangsungan hidup Gerakan Khamis

Koh Tsu Koon
SELASA, 15 November, 2011: Presiden GERAKAN, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang berdepan dengan banyak kritikan, dijadual membuat pengumuman penting Khamis ini, mengenai pelan kelangsungan hidup parti itu. 

Tsu Koon yang menyatakan demikian kepada pemberita hari ini, berkata pengumuman itu akan termasuk pelan fasa pertama bagi pembaharuan dan perubahan GERAKAN.

"Pada 17 November ini, saya akan buat pengumuman penting mengenai hala tuju GERAKAN dan agenda GERAKAN untuk rakyat Malaysia. Semua dijemput datang," katanya di lobi Parlimen.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sama ada pengumuman itu akan termasuk agenda kelangsungan hidup dirinya sendiri dalam parti, terutamanya menjelang pilihan raya umum akan datang. 

Tsu Koon, yang telah menerajui parti sejak 2008, sering dikritik bagi kepimpinannya yang disifatkan sebagai "lemah dan berlembut" berbanding dengan pemimpin parti terdahulu, lapor Bernama.

Beliau turut menerima tekanan hebat daripada ahli parti untuk membuat keputusan tegas mengenai kedudukannya dalam parti. 

Suara yang mempertikaikan kewibawaan kepimpinannya semakin memuncak pada persidangan perwakilan kebangsaan ke-40 parti pada pertengahan Oktober, yang mendorongnya mengumumkan kepada perwakilan pada akhir persidangan yang beliau "sanggup mengorbankan dirinya demi parti". 

Ketika diminta memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataannya itu, beliau meminta pemberita bersabar dan berkata: "Saya tidak mahu cakap mengenai pengorbanan, setiap orang melakukan pengorbanan dalam politik." 

Ditanya sama ada beliau akan membincangkan masa depannya dalam parti pada pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini, katanya beliau akan menjawab soalan itu pada Khamis. 

Mengulas penambahbaikan proses pilihan raya, Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pada prinsipnya GERAKAN menyokong pandangan bahawa semua rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara patut diberikan hak untuk mengundi. 

Bagaimanapun, beliau mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) merumuskan mekanisme sesuai untuk menangani isu perundangan dan teknikal bagi memastikan ketelusan sebelum ia dilaksanakan. 

Beliau berkata, Malaysia juga perlu mengkaji bagaimana sistem ketidakhadiran pengundi dilaksanakan di negara-negara lain. 

"Saya fikir PSC perlu merumuskan mekanisme untuk menangani isu-isu teknikal dan perundangan berhubung undi pos bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara," katanya. 

Beliau turut menyelar pembangkang yang berdolak-dalik mengenai isu undi pos. 

Katanya, pembangkang membantah pelaksanaan undi pos di dalam negara tetapi pada masa sama mahu ia dilaksanakan untuk rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara. 

No comments:

Post a Comment