My Add

Saturday 19 November 2011

Tun Mahathir sindir pihak yang suka kepada peperangan

Dr. Mahathir
SABTU, 19 November, 2011: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengutuk pihak yang melancarkan perang dalam ucapannya yang penuh sindiran-sindiran tajam dengan tajuk ringkas “Perang” pada satu persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur, semalam.

"Perang bagus untuk perniagaan. Membunuh orang dengan senjata juga bagus untuk perniagaan. Maka, tolak keamanan. Bantah rundingan. Tolak timbang tara.

Tolak mahkamah undang-undang. Pergi berperang. Bunuh, bunuh, bunuh. Itulah caranya untuk menyelesaikan pertikaian antara negara-negara,” kata beliau dengan nada mengejek.

Selain membunuh orang, perang juga memufliskan negara, kata beliau. lapor Bernama.

"Tetapi perang tidak boleh dihapuskan atau dijadikan satu jenayah terhadap kemanusiaan. Ia merupakan suatu yang begitu menguntungkan dan inilah yang memberikan kuasa kepada negara-negara paling berkuasa,” kata Dr. Mahathir pada persidangan gerakan intifada negara Arab anjuran Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF).

Dr. Mahathir, yang juga Presiden PGPF, berkata, pembunuh beramai-ramai kini menamakan senjata perang mereka sebagai ‘angkatan pertahanan’ tetapi jelas sekali ia tidak hanya digunakan untuk pertahanan semata-mata.

Beliau menambah, kerajaan dan industri membelanjakan sejumlah wang yang besar dalam rekaan senjata-senjata baru.

"Bahkan alat mainan kanak-kanak memberi idea untuk senjata pembunuh yang lebih baik. Kapal terbang mainan kawalan jauh bagi kanak-kanak membawa kepada idea untuk UAV - Pesawat Udara Tanpa Pemandu.

“Pada mulanya digunakan untuk mengambil gambar dari udara, tetapi kini ia dilengkapi dengan senapang, peluru berpandu dan bom,” katanya.

Beliau berkata gas, kuman dan sinaran pelbagai jenis kini sedang dikaji dan potensi untuk membunuh manusia dikenal pasti dan dibangunkan,” kata beliau.

Dr. Mahathir berkata, ironinya adalah orang sama yang suka terhadap pembunuhan beramai-ramai adalah orang yang begitu kritikal terhadap hukuman mati mandatori yang dikenakan ke atas mereka yang memiliki dadah serta pembunuh. 

No comments:

Post a Comment