My Add

Tuesday 22 November 2011

Wanita Islam haram sertai semua jenis peraduan ratu cantik

SELASA, 22 November, 2011: 
WANITA Islam diharamkan menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Kata beliau, perkara tersebut telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1997, namun perlu diwartakan di peringkat Majlis Fatwa negeri bagi penguatkuasaan undang-undang berkaitan.

"Majlis Fatwa Kebangsaan telah memberi ingatan bahawa wanita Islam tidak dibenarkan menyertai sebarang pertandingan ratu cantik.

"Namun penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Peringkat Parlimen Pendang di Pendang, semalam.

Beliau mengulas tentang penyertaan lima wanita Islam dalam pertandingan Miss Borneo 2011 di Sarawak baru-baru ini.

Kata Jamil Khir, sesetengah negeri bagaimanapun belum lagi mewartakan fatwa tersebut, sekali gus menyukarkan sebarang tindakan diambil ke atas mereka yang melanggarnya.

"Kerajaan negeri perlu memainkan peranan untuk mewartakan fatwa tersebut bagi mengelak sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat selain mengugat sensitiviti umat Islam.

"Setiap fatwa tidak akan berstatus undang-undang sehingga diwartakan di negeri masing-masing, sekali gus membolehkan penguatkuasaan ke atas mereka yang melanggar fatwa tersebut," katanya.

Selain itu, tambah beliau, pihak lain yang terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penganjur perlu memikul tanggungjawab melarang penyertaan orang Islam dalam sebarang pertandingan seumpama itu.

"Kerajaan memandang serius perkara ini kerana ia memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam.

"Kita akan tengok apakah ruang kekurangannya sehingga berlaku kes seperti di Sarawak ini. Kita akan tangani perkara ini agar ia tidak berulang termasuk sebarang tindakan berkaitan terhadap mereka yang terlibat," katanya.

Peserta Miss Borneo wajib taubat segera

Lima peserta beragama Islam yang menyertai Miss Borneo 2011 semalam wajib bertaubat dengan segera kerana telah melanggar perintah Allah SWT dan juga agama.

noohgadutpotret.jpg image by afyassin
Nooh Gadut 
Menurut Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut, bukan sahaja kelima-lima peserta terbabit tetapi orang Islam yang terlibat dengan penganjuran pertandingan berkenaan serta mereka yang hadir juga wajib bertaubat dengan segera.

"Kita kena ingat Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Apa yang mereka lakukan ini bukan sahaja telah memalukan agama tetapi juga negara.

"Mereka (peserta) wajib bertaubat dengan segera bagi mengelakkan daripada mendapat balasan azab daripada Allah SWT, sama ada di dunia atau akhirat. Termasuklah juga orang Islam yang terlibat dengan penganjurannya serta hadir untuk menonton, semuanya wajib bertaubat segera," katanya kepada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam .

Beliau mengulas tindakan lima peserta wanita beragama Islam iaitu Melatie Melisa; Adira Kamil; Sharifah Nadzirah Wan Hamid; Roszainah Suhaili dan Natasha Nur Amarina Mohamad Kaie yang menyertai pertandingan Miss Borneo 2011 di Kuching.

Semua mereka memakai pakaian berwarna-warni dan menjolok mata yang mendedahkan paha serta pangkal dada pada pertandingan tersebut walaupun sudah diberikan kaunseling oleh pegawai Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sebelum itu.

Menurut Nooh, program pemulihan serta bimbingan perlu diberikan dengan segera kepada kelima-lima peserta terbabit bagi memastikan mereka insaf dengan perbuatan tersebut.

"Dalam hal ini jabatan agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam perlulah membimbing mereka, memberitahu perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam supaya mereka sedar dan bertaubat. Ibu bapa juga perlu memainkan peranan mereka," jelasnya.

No comments:

Post a Comment