My Add

Sunday 20 November 2011

Wong menang tanpa bertanding jawatan pengerusi SUPP Sibu

AHAD, 20 November, 2011:
DATUK Sri Wong Soon Koh mengekalkan jawatan sebagai pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Sibu apabila menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung tiga tahun sekali parti, di sini, hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan itu juga adalah Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Masyarakat negeri.

Bekas ADUN Pelawan, Vincent Goh Chung Siong dipilih sebagai timbalannya, menggantikan bekas anggota Parlimen Sibu, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, timbalan menteri pengangkutan yang meninggal dunia akibat kanser hati pada April tahun lalu.

Lau bagaimanapun dipilih sebagai pengerusi tetap kehormat bersama-sama dengan bekas presiden parti, Tan Sri Dr Wong Soon Kai.

Isteri Lau, Datuk Janet Lau Ung Hie, mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Wanita.

Toh Jack Kuong dipilih sebagai Ketua Pemuda.

Cawangan itu juga menyaksikan ketua unit Bumiputera Andrew Shilling dipilih sebagai seorang daripada empat naib presiden.
Tujuh anggota Bumiputera yang lain dipilih sebagai anggota jawatankuasa.

Dengan pelantikan semula itu, Wong, yang juga timbalan setiausaha agung SUPP kini boleh menumpukan pada pertandingan jawatan presiden pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali parti di Kuching, bulan depan.

Beliau akan dicabar oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui, yang juga setiausaha penganjur SUPP dan anggota Parlimen Miri.

Kira-kira 600 perwakilan mewakili 43 cawangan akan menghadiri TDC yang agenda utamanya ialah memilih pemimpin baru SUPP berikutan presiden parti, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam tidak bertanding kali ini.

Mereka akan memilih 135 anggota Jawatankuasa Pusat dan 25 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Anggota CWC kemudiannya akan memilih presiden baru dan barisan pemimpin tertinggi lain dalam parti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment