My Add

Tuesday 22 November 2011

Malaysia bercadang tubuh Pertubuhan Zakat Dunia

SELASA, 22 November, 2011 : 
KERAJAAN bercadang menubuhkan Pertubuhan Zakat Dunia (WZO) bertujuan membantu masyarakat Islam di seluruh dunia yang tidak bernasib baik dan memerlukan bantuan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata bantuan yang dihulurkan melalui dana yang dikumpulkan WZO akan dapat membantu mengurangkan masalah yang membelenggu masyarakat Islam.

Katanya, 18 buah negara setakat ini menyatakan persetujuan untuk menyertai pertubuhan itu.

"Pihak Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dalam usaha menubuhkan WZO yang mana kita memerlukan penajaan beberapa negara Islam lain. Kita hendak dapatkan sumber terutama daripada bank-bank Islam dunia yang boleh menyumbang untuk bantuan zakat ke tabung WZO," katanya. 

Dana itu boleh digunakan bagi membantu rakyat di negara yang dilanda konflik seperti Somalia, Palestin, Afghanistan, kata Jamil Khir kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Zakat Universiti-universiti Sedunia yang julung kali diadakan (WU1ZC) di Kuala Lumpur hari ini. 

Dalam pada itu, Jamil Khir berharap persidangan tiga hari itu akan dapat menghasilkan satu model kertas kerja yang boleh dicontohi serta diguna pakai semua pihak dalam memastikan pengagihan zakat sampai kepada golongan sasar. 

Selain itu, beliau berkata, pihaknya sedang berusaha membangunkan sebuah bank data yang mengandungi maklumat menyeluruh mengenai bantuan yang diterima golongan sasar. 

"Ini adalah cabaran besar kepada saya untuk sediakan data bank atau maklumat menyeluruh yang mana kita hanya tekan butang dan dapat tahu dari mana mereka dapat bantuan dan sumber serta jumlahnya," katanya. 

Sebanyak 64 kertas kerja melibatkan 16 institusi pengajian tinggi mewakili negara seperti Indonesia, Brunei, Arab Saudi, Australia, Algeria, Iran, Bangladesh, Belgium dan Malaysia akan dibentangkan pada persidangan itu yang berakhir Khamis ini. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment