My Add

Sunday 13 November 2011

Yuna rangkul tiga anugerah

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

AHAD,13 November, 2011:.Penyanyi dan komposer wanita popular, Yunalis Zarai atau Yuna (gambar)memenangi tiga anugerah utama dalam Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini malam tadi.

Yuna menepati ramalan apabila memenangi Persembahan Vokal Wanita di Dalam Lagu dan Lagu Terbaik menerusi lagu Penakut.

Lebih membanggakan apabila Yuna juga diberikan Anugerah Kembara hasil sumbangannya dalam memartabatkan dunia seni tempatan di peringkat antarabangsa, lapor Mingguan Malaysia.

Penghibur ternama negara, Datuk Sheila Majid pula memenangi anugerah Album Terbaik menerusi album The Malaysian Philharmonic Orchestra Celebrates 25 Years of Sheila Majid dan salah satu lagu di dalam album itu, Jeritan Batinku turut memenangi Susunan Muzik Terbaik di Dalam Lagu.

Penyanyi lelaki popular, Anuar Zain turut memenangi dua anugerah iaitu Persembahan Vokal Lelaki di Dalam Lagu dan Lagu Pop Terbaik bagi lagu Sedetik Lebih.

Sementara itu, Najwa Mahiaddin memenangi gelaran Artis Baru Terbaik menewaskan Reza Salleh, Kyoto Protocol, Projek Pistol dan James Baum selain memenangi kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik bagi lagu ciptaannya sendiri, Got To Go.

Kumpulan 6ixth Sense pula memenangi Artis Mobil Celcom Terbaik berdasarkan penjualan muat turun lagu mereka sebanyak 1.8 juta kali.

Anugerah Sri Wirama pula diberikan kepada Beh Suat Pheng di atas sumbangannya kepada industri muzik tempatan.

AIM 18 yang dihoskan oleh AC Mizal dan Zizan turut diserikan dengan persembahan Najwa, Jaclyn Victor, Ning Baizura, Shila Amzah, Ella dan Mawi. 

No comments:

Post a Comment