My Add

Sunday 11 December 2011

Borang BR1M didakwa dijual di Pulau Pinang

PERMATANG PAUH, AHAD, 11 Disember, 2011: 
BORANG untuk mendapatkan wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mula diedar di seluruh negara semalam, dilaporkan dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab di Pulau Pinang. 

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, berkata beliau menerima aduan daripada orang ramai yang mendakwa borang BR1M dijual dengan harga antara RM1 dan RM4 di beberapa kawasan di negeri ini.

"Saya dapat aduan daripada beberapa penduduk yang memaklumkan borang yang diedarkan secara percuma oleh kerajaan itu perlu dibayar jika ingin mendapatkannya.

"Menurut pengadu borang itu dijual dengan harga RM4 di Kampung Petani, Penanti dan RM1 di Sungai Dua, Butterworth," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Juara Rakyat Parlimen Permatang Pauh di sini, hari ini. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak tertipu dengan pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan menjual borang BRIM kerana ia diberi secara percuma. 

"Kita juga akan menyelidik dan mengenalpasti mangsa yang sudah membeli borang berkenaan agar mereka membuat laporan polis supaya pihak tidak bertanggungjawab terbabit dikenakan tindakan," katanya. 

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, orang ramai boleh mendapatkan borang BR1M menerusi 400 wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan JKKKP Parlimen Permatang Pauh dan pejabat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN). 

Katanya, setakat ini sebanyak 10,000 borang sudah diedarkan dari rumah ke rumah dan masjid di sekitar kawasan parlimen Permatang Pauh. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment