My Add

Sunday 11 December 2011

Dana BR1M ditambah

ORANG ramai beratur untuk menghantar borang permohonan BR1M di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kampung Pandan, Kuala Lumpur, semalam. – Mingguan/HAFIZH KHOSMAT

IPOH, AHAD, 11 Disember, 2011:
KERAJAAN akan menambah peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang berjumlah RM2.6 bilion bagi memastikan semua keluarga berpendapatan kurang RM3,000 sebulan menerima bantuan khas RM500 yang dijanjikan.

Sehubungan itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberi jaminan semua keluarga terlibat akan menerima bantuan itu walaupun bilangannya nanti melebihi anggaran asal seramai 5.2 juta isi rumah.

“Kita belum tahu bilangan isi rumah yang layak. Namun dianggarkan 5.2 juta atau 83 peratus daripada 6.2 juta isi rumah yang dilaporkan di seluruh negara layak menerima bantuan khas itu.

“Sekiranya bilangan yang layak melebihi 5.2 juta isi rumah, mereka akan dapat juga,” katanya selepas melancarkan pendaftaran BR1M di Dewan Komuniti 1Malaysia Chemor, dekat sini, semalam. lapor AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI 

Pada pembentangan Bajet 2012 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pemberian bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah yang akan diagihkan mulai 16 Januari depan manakala tempoh pendaftaran akan bermula hari ini hingga 10 Januari.

Menurut Ahmad Husni, setiap permohonan akan diperiksa dengan teliti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum kelulusan diberi.

Katanya, dengan rekod yang ada pada LHDN dan BNM, beliau yakin tidak akan berlaku ketirisan apatah lagi mereka yang memberi maklumat palsu boleh dipenjara tiga tahun dan didenda seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

“Mereka yang berpendapatan di bawah RM3,000 tidak membayar cukai, jadi mereka tiada dalam rekod. Kita percaya mereka yang layak akan dapat dan yang tidak layak tidak akan dapat bantuan itu,” katanya.

Beliau juga percaya sasaran pendaftaran seramai 5.2 juta isi rumah mampu dicapai dalam tempoh sebulan dengan gabungan kerjasama LHDN, agensi-agensi kerajaan dan pemimpin masyarakat.

Dalam pada itu, Ahmad Husni amat tersentuh melihat begitu ramai rakyat berbilang kaum datang ke majlis itu untuk memohon BR1M.

No comments:

Post a Comment