My Add

Sunday 11 December 2011

Jangan keterlaluan, undang-undang masih ada kuasa: Rais

KUALA LUMPUR, AHAD, 11 Disember, 2011:
SISTEM undang-undang khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mempunyai kuasa untuk bertindak menjaga keamanan walaupun kerajaan meliberalkan beberapa sistem berkaitan aspek kehidupan, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. 

Mengulas tindakan kira-kira 100 peserta 'flashmob' yang berkumpul di pusat membeli-belah KLCC semalam untuk membantah rang undang-undang Perhimpunan Awam 2011, Rais mengingatkan orang ramai agar jangan keterlaluan hanya kerana beberapa sistem sudah diliberalkan.

"Jangan keterlaluan semata-mata Perdana Menteri atau sistem kerajaan sudah meliberalkan beberapa aspek kehidupan kita. Kuasa polis itu tetap ada.

"Apa pun undang-undang yang diolah atau dipinda, tinggal lagi jangan diuji sangat kesabaran tersebut sehingga kita mewujudkan kekacauan," katanya kepada pemberita selepas menyertai pertandingan badminton antara JASA dan pasukan D'Sury, di sini, hari ini. 

Rais turut menyifatkan mereka yang bertindak melakukan perhimpunan di tempat awam khususnya di lokasi tumpuan orang ramai sebagai mereka yang tidak menghargai kebebasan sendiri. 

"Saya percaya pihak polis akan sentiasa melakukan pemerhatian yang kerap dan sekiranya melanggar perhitungan dan keamanan damai di jalan raya dan pasar raya, tindakan setimpal akan diambil," katanya. 

Mengulas mengenai calon yang berundur secara sukarela pada pilihan raya umum akan datang, Rais berkata perkara itu terserah kepada pucuk pimpinan untuk membuat pertimbangan serta memilih calon yang mereka kehendaki untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13. 

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO semestinya mengetahui prestasi atau potensi mereka yang layak menjadi calon. 

"Kalau orang itu produktif beliau (PM) tahu. Beliau ada 10 sumber untuk mengetahui seseorang itu baik atau tidak. Jangan dipaksa mana-mana pihak mengeluarkan pendapat mereka. 

"Bagi saya, kita ada banyak kerja lagi daripada hendak menentukan siapa jadi calon. Yang penting bolehkah orang itu buat kerja dan berkhidmat untuk negara dan tidak menipu rakyat," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment