My Add

Thursday 8 December 2011

Kerajaan tentu hala tuju infrastuktur kenderaan elektrik

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 08 Disember, 2011:
KERAJAAN telah membangunkan hala tuju Infrastruktur Kenderaan Elektrik di bawah program “Fleet Test Vehicle" (FTV) di Putrajaya dan Cyberjaya, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon.

Beliau berkata pelaksanaan FTV akan menjadi penanda aras dalam membangunkan pelan strategik dan rangka kerja bagi memperluaskan penggunaan kenderaan hibrid dan elektrik di Malaysia.

"Kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk menyediakan persekitaran yang kondusif bagi memperluaskan lagi penggunaan kenderaan elektrik di dalam negara,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Yunus Kurus.

Yunus ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengurangkan lagi Harga Atas Jalan (OTR) bagi kenderaan hibrid dan elektrik selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara bagi menjadikan kenderaan itu lebih berdaya saing dari segi harga dan mampu milik.

Menurut Noriah, salah satu aspek yang akan diteliti dalam penyediaan pelan berkenaan ialah strategi yang akan membolehkan kenderaan hibrid dan elektrik mampu dimiliki oleh rakyat.

Katanya antara strategi yang sedang dirangka termasuk penetapan tarif rendah untuk mengecas kenderaan hibrid dan elektrik, keutamaan untuk ruang parkir, skim pinjaman dengan kadar faedah rendah untuk pembelian bateri, tempoh pinjaman lebih lama serta lain-lain kemudahan dan insentif yang akan dikenal pasti dan dipertimbangkan kelak.

Selain itu, beliau berkata kerajaan telah melanjutkan pengecualian cukai import dan eksais ke atas motosikal dan kereta hibrid serta elektrik sehingga 31 Dis 2013 sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 pada Oktober lepas.

Katanya, dengan pengecualian itu, harga kereta hibrid dan elektrik di pasaran tempatan telahpun menurun dan ini telah membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memilikinya. - Bernama

No comments:

Post a Comment