My Add

Sunday 11 December 2011

Pejabat LHDN seluruh negara diserbu, borang diedar percuma

MELAKA, AHAD, 11 Disember, 2011: 
BELUM pun sempat kakitangan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka mendengar taklimat untuk melicinkan pengurusan agihan borang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pejabat itu diserbu orang ramai seawal pukul 7.30 pagi untuk mendapatkan borang bantuan sebanyak RM500 itu.

Tinjauan Mingguan Malaysia di pejabat LHDN negeri di Melaka Mall, Lebuh Ayer Keroh di sini mendapati, keadaan sesak berjaya dikawal sebelum beberapa petugas mengedarkan borang itu sebaik sahaja pintu pejabat dibuka pada pukul 8 pagi.

Pengarah LHDN negeri, Robiah Muhamad berkata, sebanyak 150,000 borang BR1M diedarkan kepada rakyat di negeri itu untuk memohon bantuan sebanyak RM500 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menurutnya, borang-borang tersebut bukan sahaja boleh didapati di pejabat LHDN dan cawangannya tetapi juga di semua 28 pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ia turut diedarkan serentak hari ini.

"Keseluruhannya terdapat 32 lokasi disediakan bagi membolehkan mereka yang layak mendapatkan borang dan memohon bantuan RM500 itu," katanya di sini semalam.

Tinjauan sehingga pukul 9 pagi mendapati, orang ramai tidak perlu beratur panjang untuk mendapatkan borang tersebut kecuali untuk membuat salinan kad pengenalan.

Beberapa petugas juga ditempatkan di tingkat bawah bangunan itu tanpa perlu ke pejabat LHDN yang terletak di tingkat dua untuk mengedarkan borang kepada orang ramai.

Sementara itu, borang permohonan bantuan boleh didapati secara percuma mulai hari ini di semua pejabat cawangan dan pusat khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Penerangan, Jabatan Pembangunan Persekutuan, lobi utama Kementerian Kewangan dan sekolah-sekolah terpilih dari 9 pagi hingga 5 petang.

Maklumat lanjut boleh diakses dengan melayari laman web http://www. treasury.gov.my atau menghubungi talian 1-800-222-500, menurut kenyataan Kementerian Kewangan. — BERNAMA



No comments:

Post a Comment