My Add

Sunday 11 December 2011

Pembangkang akhirnya akur kemampuan kapal selam TLDM

NAJIB Tun Razak bersama  Rosmah  mendengar adik Nur Amira Alia Ahmad Nor, 4, (tiga, kiri), membaca doa makan pada Expo Permata 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR, AHAD 11 Disember, 2011:
DATUK Seri Najib Tun Razak berkata, pihak pembangkang akhirnya terpaksa akur dengan kemampuan kapal selam negara menyelam di dasar laut selepas diberi peluang menaiki KD Tun Razak di Pulau Langkawi, semalam.

Perdana Menteri berkata, mereka juga telah menyaksikan kehebatan dan kemampuan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dalam mempertahankan negara.

"(Dahulu) mereka kata kapal selam ini tidak boleh menyelam, tetapi mereka akhirnya terpaksa akur dengan kenyataan bahawa kapal selam ini boleh menyelam.

"Malah (mereka juga) menyaksikan betapa hebatnya kemampuan kapal selam ini," katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Permata 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini semalam.

Hadir sama Penaung Program Permata Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan dua Timbalannya, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Datuk Dr. Mansor Othman berpeluang menaiki kapal selam KD Tun Razak atas jemputan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011.

Selepas merasai sendiri pengalaman menaiki kapal selam itu, Guan Eng akhirnya mengakui aset tersebut amat diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.

Guan Eng pada sidang akhbarnya berkata, kapal selam TLDM boleh menyelam dan kenyataannya itu bercanggah dengan dakwaan pembangkang di Dewan Rakyat sebelum ini.

Persetujuan mengenai perolehan dua kapal selam milik TLDM iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak ditandatangani antara Malaysia dan Perancis pada f2002 dengan harga RM2.5 bilion termasuk pakej pemindahan teknologi.

Penganalisis pertahanan sebelum ini menyifatkan proses dan harga itu sebagai adil serta berbaloi.

Dalam pada itu Najib berkata, semua pihak harus berani menghadapi sebarang kritikan iaitu dengan meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap setiap program dilaksanakan seperti mana program Permata.

"Anggaplah kritikan itu sebagai perangsang kepada kita untuk melakukan yang terbaik. Jangan patah semangat. Kuatkan iltizam dan kita buktikan apa yang kita laksanakan ini dibuat secara bersungguh-sungguh terutama program-program berkaitan kesejahteraan rakyat.

"Mereka yang mengkritik itu hanya mahu menjadikan program-program yang kita laksanakan sebagai modal politik sahaja," katanya.

Selain projek kapal selam katanya, langkah kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) juga tidak kurang hebatnya menerima kritikan daripada pakatan pembangkang sedangkan kewujudannya adalah untuk membantu mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah.

"Pelbagai tuduhan mereka lemparkan termasuk mengatakan barangan yang dijual di KR1M mutunya rendah," katanya.

Ekspo Permata mampu tangkis fitnah – Rosmah

sementara itu, penganjuran Ekspo Permata 2011 yang bermula semalam mampu memberi pemahaman sebenar mengenai program itu sekali gus menangkis segala khabar angin yang tidak benar dan fitnah terhadap program tersebut.

Penaung Program Permata Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor berkata, melalui ekspo tersebut para pengunjung akan memperoleh pelbagai maklumat mengenai program-program Permata yang terdiri daripada Permata Negara, Permata Insan, Permata Pintar, Permata Seni dan Remaja Perkasa.

Selain itu beliau berkata, ekspo itu juga boleh menjadi medan untuk mencetuskan idea-idea baru yang boleh dibincang dan dikongsi bagi memperkukuhkan lagi pengisian program Permata.

“Adalah menjadi harapan saya agar penganjuran ekspo ini dijadikan wadah oleh kelima-lima komponen Permata untuk berkongsi maklumat dengan pengunjung.

“Ia akan memberi pemahaman sebenar mengenai program Permata dan menangkis segala khabar angin yang tidak benar dan fitnah mengenai program ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Permata 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Penganjuran ekspo tersebut akan berakhir pada 12 Disember ini.

Rosmah meletakkan harapan yang cukup tinggi terhadap lima komponen program Permata dalam melahirkan anak-anak berbakat, bijak dan berpotensi yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan. - MM




No comments:

Post a Comment