My Add

Sunday 11 December 2011

Perlu ada gabungan calon baru dan lama: Jamaluddin Jarjis

ROMPIN, AHAD, 11 Disember, 2011: 
GABUNGAN antara calon muda dan lama untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang adalah amat penting bagi mengimbangi pembaharuan dan pengalaman yang dimiliki mereka dalam memimpin rakyat dan mentadbir negara, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis. 

Beliau berkata, kehadiran muka baru berupaya membawa pembaharuan kepada parti apabila terpilih mewakili rakyat.

"Tetapi pada masa yang sama kita juga memerlukan muka lama iaitu mereka yang berpengalaman bagi memastikan kelancaran proses transformasi negara seperti yang dimahukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Majlis Daerah Rompin (MDR) dengan Uda Holdings Berhad bagi pembangunan Kedai Desa. 

Turut dimeterai ialah MoU antara Teras Dara Konsortium Sdn Bhd dengan Uda Holdings Berhad bagi pembangunan hartanah di Rompin. 

Turut hadir ialah Pengerusi Uda Holdings Berhad, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Yang Dipertua MDR, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha. 

Jamaluddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat berkata, kepimpinan negara secara umumnya memerlukan keseimbangan antara kedua-dua jenis calon berkenaan kerana hala tuju negara tidak mungkin dapat dicapai tanpa gabungan mereka. 

"Sekiranya ada pemimpin muda saja, kita khuatir tiada nakhoda yang boleh pastikan pembangunan dan pentadbiran negara dapat diteruskan dan jika hanya ada muka lama saja, kita takut mereka ini akan tertidur dan proses transformasi negara tidak dapat dilaksanakan," katanya. 

Menurut beliau, pemilihan muka lama dan baru bagaimanapun hanya akan ditentukan oleh pucuk tertinggi parti namun beliau yakin Perdana Menteri mempunyai formula dan strategi tertentu dalam menentukan gandingan muka lama dan baru. 

Apa yang penting, kata Anggota Parlimen Rompin ini ialah sokongan antara satu sama lain apabila mereka terpilih menjadi calon dan selepas memenangi kerusi yang ditandingi. 

Jamaluddin berkata, apa yang mustahak juga selepas itu ialah pemimpin perlu sentiasa menjadi mata dan telinga masyarakat di kawasan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Wakil Rakyat yang berkaliber. - BERNAMA 



No comments:

Post a Comment