My Add

Sunday 11 December 2011

Rakyat mahu transformasi: Muhyiddin



MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan beberapa pemimpin pelajar Malaysia di Australia dan New Zealand di Perth, Australia, semalam. – BERNAMA



PERTH, AHAD, 11 Disember, 2011: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program transformasi yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu tidak seharusnya dilihat sebagai inisiatif kerajaan semata-mata sebaliknya ia adalah sesuatu yang sememangnya dimahukan rakyat dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sebab itu pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam melaksanakan usaha transformasi mengambil kira apa yang dimahukan semua pihak selain turut membawa rakyat bersama-sama menjayakannya.

‘‘Alhamdulillah saya ingin memaklumkan bahawa segala langkah yang telah dimulakan seperti transformasi kerajaan menerusi pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) berjaya mencatat kemajuan yang luar biasa.

‘‘Malah kesemuanya telah melepasi sasaran yang ditetapkan. Tak mungkin ia boleh berjaya sekiranya inisiatif ini dilihat usaha kerajaan sahaja manakala rakyat pula melihat yang mereka harus menerima apa yang dilakukan.

‘‘Namun pada masa sama saya akui ekonomi kita harus terus rancak dan cabarannya memang besar ketika dunia berhadapan krisis seperti yang berlaku di negara Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pertemuan Bersama Rakyat Malaysia di sini malam semalam.

Herman Hamid melaporkan dari Perth, majlis tersebut turut dihadiri isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Konsul Besar Malaysia di Perth, Hamidah Ashari, Presiden Kelab UMNO Australia Barat, Dr. Isharuddin Mad Isa dan mahasiswa Malaysia yang menuntut di universiti sekitar Perth.

Menurut Muhyiddin, dasar transformasi yang sedang dilakukan kerajaan kini membuktikan Malaysia sudah berada pada satu tahap yang jauh lebih matang berbanding tempoh 10 tahun lalu.

Beliau berkata, kesemua ini berlaku kerana masyarakat hari ini mengetahui apakah hak dan keutamaan dalam sistem demokrasi yang mana rakyat dapat menyertai dalam proses membuat keputusan.

Katanya, di pihak kerajaan yang bertanggungjawab pula, bukan sahaja perlu prihatin tetapi bertindak di atas lunas undang-undang untuk melakukan penambahbaikan dalam kehidupan.

‘‘Disebabkan itu transformasi yang dimulakan ini selaras dengan aspirasi negara dan memenuhi tuntutan semasa rakyat,” katanya. – Mingguan Malaysia 

No comments:

Post a Comment