My Add

Sunday 11 December 2011

Sultan dukacita ada pihak politikkan pemberian anugerah

SHAH ALAM, AHAD, 11 Disember, 2011:
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita kerana mendapati ada pihak cuba mempolitikkan isu pemberian darjah kebesaran Selangor sempena hari keputeraan ke-66 baginda.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, Sultan Selangor meneliti 2,068 permohonan yang diterima tahun ini, dengan keutamaan kepada pegawai kerajaan, polis dan tentera.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, hanya 113 penerima sahaja akan dianugerahkan darjah dan bintang kebesaran, yang terdiri daripada sembilan dari istana, 82 penjawat awam, lima dari badan bukan kerajaan dan 17 dari sektor swasta.

“Ketiadaan penerima daripada orang politik disebabkan mereka belum memenuhi syarat untuk dikurniakan darjah dan bintang kebesaran negeri,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Katanya, tidak ada calon daripada pakatan pembangkang atau Barisan Nasional yang akan dianugerah darjah dan bintang kebesaran, kecuali satu anugerah kepada anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dari parti Pas.

“Penganugerahan kepada Hasan disifatkan memberi keadilan kepada parti komponen PR (Pakatan Rakyat) kerana Selangor ditadbir kerajaan Pakatan Rakyat yang mengandungi tiga parti komponen iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas,” katanya. – Bernama

No comments:

Post a Comment