My Add

Saturday 31 December 2011

Tunjuk perasaan menentang Presiden Syria





PENUNJUK perasaan yang menentang Presiden Syria, Bashar al-Assad berarak melalui jalan di Adlb, hari ini. Pasukan keselamatan Syria yang tidak gentar dengan kehadiran pemerhati Liga Arab, sekurang-kurangnya sudah membunuh 12 penunjuk perasaan dan lima orang anggota pasukan keselamatan itu juga terbunuh dalam kejadian ini. - Foto Reuters

Mesyuarat bincang perkembangan projek ETP bulan depan

IPOH, SABTU, 31 Disember, 2011: Satu mesyuarat bagi membincangkan perkembangan projek pembangunan di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) akan diadakan bulan depan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. 

Beliau berkata mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan akan turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) dan semua Ketua Setiausaha (KSU) yang juga jawatankuasa bagi menyemak dan menilai perkembangan projek permulaan (EPP).

Beliau berkata, mesyuarat itu akan membincangkan masalah-masalah yang boleh menjadi halangan atau mengekang projek-projek tersebut siap mengikut jadual.
"Lebih 80 peratus daripada 131 EPP sudah pun dimulakan dan apabila ia bermula bermakna kerajaan akan menyediakan perbelanjaan sehingga projek tersebut siap. 

"Ada antara projek ini yang memakan masa sehingga dua atau tiga tahun dan ada juga yang memakan masa hingga 10 tahun untuk disiapkan," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Gelanggang Rakyat, Kampung Cik Zainal di sini, hari ini. 

Ahmad Husni berkata perancangan yang teliti perlu bagi memastikan tiada penangguhan dalam projek-projek yang dijalankan. 

Sementara itu, katanya, perkembangan ekonomi negara pada tahun hadapan tidak akan terjejas walaupun penganalisis menjangka ekonomi beberapa negara di Eropah belum pulih sepenuhnya.

Beliau berkata, sekiranya tiada kemerosotan melanda Eropah pada 2012, ekonomi negara akan berkembang dengan lebih baik kerana kita mempunyai eksport dengan beberapa negara berkenaan. 

"Sebahagian besar penganalisis menjangkakan ekonomi Amerika Syarikat akan berkembang pada tahun hadapan berdasarkan perkembangan positif negara berkenaan pada suku ketiga dan keempat tahun ini. 

"Perkembangan itu juga melampaui sasaran awal," katanya. - BERNAMA

Zahid cabar Tony Pua kemuka bukti dakwaan kapal selam

BAGAN DATOH, SABTU, 31 Disember, 2011: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi “mempelawa” ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua untuk bertemu dan mengemukakan bukti kepada beliau berkenaan dakwaan liar pembelian kapal selam oleh kerajaan.

"Jangan hanya berani bercakap di belakang saja, datang jumpa saya, kemukakan semua bukti untuk berbincang.

"Datang bertemu dengan saya bila-bila masa, kemukakan fakta (bukti) mengenai isu pertahanan, jangan keluarkan kenyataan di media dan melakukan pelbagai tuduhan,” katanya.

Ahmad Zahid mengulas dakwaan Pua bahawa kapal tempur pesisir pantai (LCS) telah meningkat berbilion ringgit sebaik saja tender pembinaan enam LCS diberi kepada Boustead Naval Shipyard (BNS).

Sebelum ini, Menteri Pertahanan itu menjemput Tony untuk menaiki kapal selam di Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 11) tetapi ditolak. - BERNAMA

Peneroka bersyukur bonus insentif produktiviti

MARAN, SABTU, 31 Disember, 2011: Pemberian bonus insentif produktiviti kepada peneroka dilihat sebagai satu hadiah bermakna kepada warga terbabit dalam persiapan untuk sesi persekolahan anak mereka. 

Bagi lebih 15,000 peneroka di FELDA Wilayah Jengka, bonus berkenaan dilihat dapat meringankan beban dalam menyediakan persiapan persekolahan anak menjelang tahun baru ini.

Timbalan Pengerusi Gabungan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) FELDA Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar, berkata kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperlihatkan komitmen dan keikhlasan untuk membantu masyarakat peneroka.

"Bonus insentif RM400 hingga RM1,200 yang dinikmati warga FELDA membuktikan situasi sebenar bahawa kerajaan tidak mengabaikan kebajikan golongan berkenaan," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. 

Pada 23 Disember lalu, Perdana Menteri mengumumkan FELDA akan membayar bonus insentif produktiviti antara RM400 dan RM1,200 kepada peneroka tanah rancangan itu pada tahun ini, kadar yang sama seperti tahun lalu. 

Pembayaran bonus insentif berjumlah RM102.6 juta itu yang bergantung kepada penghantaran hasil, membabitkan 95,949 daripada 112,635 peneroka FELDA bagi menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui FELDA. 

Ketua Peneroka FELDA Jengka 18, Samad Samah, 59, berkata pemberian itu sangat bermakna kepada ketua isi rumah dalam persiapan keperluan persekolahan anak tahun depan.

Katanya, warga peneroka perlu terus memberi sokongan kepada kerajaan dan Perdana Menteri yang berusaha untuk memakmur negara serta rakyat. 

Ketua Peneroka FELDA Kota Gelanggi 1, Abdul Rahman Ghani, 48, pula berkata masyarakat peneroka FELDA perlu rasional sekiranya mahu menyokong pihak pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional sejak dulu lagi sentiasa mengambil berat tentang kebajikan rakyat. 

Ketua Peneroka FELDA Jengka 3, Zainuddin Jantan, 58, berkata pemberian bonus itu adalah satu Rahmat bagi warga peneroka untuk menampung perbelanjaan mereka. 

"Tohmahan pembangkang bahawa kerajaan tidak menjaga kebajikan adalah tidak benar sama sekali," katanya. - BERNAMA

DAP kutuk tindakan meletak kepala khinzir di hadapan masjid

GEORGETOWN, SABTU, 31 Disember, 2011: Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepala khinzir di luar pintu Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya, Johor Baharu. 

Beliau berkata mereka yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu perlu diberkas dan diberi hukuman yang setimpal kerana tidak mempunyai sensitiviti agama.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab ini perlu dikutuk oleh semua rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia yang mempunyai kepelbagaian agama dan kepercayaan mempunyai hak untuk hidup dalam keadaan aman dan harmoni," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini berhubung insiden sembilan kepala khinzir ditemui di hadapan pintu Masjid Al-Falah semalam. 

Karpal yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor mahu pihak polis memberi keutamaan terhadap siasatan kes ini. 

"Pada malam menjelang tahun baru ini insiden memalukan seperti ini tidak harus berlaku," katanya. - BERNAMA 

TNB perkenal perkhidmatan e-Application kepada pelanggan

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan satu lagi perkhidmatan baru kepada pelanggan berasaskan web melalui sistem e-Application. 

Sistem berkenaan adalah satu aplikasi web yang membolehkan pelanggan memohon bekalan baru tenaga elektrik daripada TNB secara online bertujuan meningkatkan kecekapan proses permohonan bekalan elektrik.

Penggunaan sistem e-Application ini juga dapat membantu pelanggan memantau status permohonan dan pengesanan dokumen secara online pada bila-bila masa, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan.

Ini dapat membantu pelanggan mengetahui tindakan susulan jika diperlukan daripada mereka untuk mempercepatkan proses permohonan bekalan baru ini.

E-Application juga mempunyai ciri terbaru iaitu perkongsian maklumat pangkalan data Suruhanjaya Tenaga terhadap kontraktor elektrik berdaftar yang mempunyai lesen yang sah. 

Pengguna juga boleh membuat pilihan kontraktor elektrik melalui sistem ini dan ini mengurangkan risiko menggunakan khidmat kontraktor yang tidak sah, menurut TNB.

Sistem e-application ini akan diguna pakai sepenuhnya Pemaju Perumahan mulai 1 Januari 2012.

Kontraktor elektrik dan juga pelanggan individu boleh menggunakan sistem ini dengan mendaftar secara online melalui https://eapplication.tnb.com.my/Public/Register.aspx

Ketua Pegawai Operasi yang juga Pengarah Eksekutif TNB, Datuk Azman Mohd, berkata sistem berkenaan membantu pemaju menguruskan permohonan bekalan elektrik dengan lebih berkesan dan membantu TNB membuat perancangan awal sistem bekalan yang diperlukan oleh pemaju projek perumahan.

Pemaju Perumahan yang belum berdaftar dengan e-Application boleh mendaftar melalui https://eapplication.tnb.com.my/Public/Register.aspx

Untuk memantau status permohonan untuk projek secara online, pengguna sistem boleh memantaunya melalui https://eapplication.tnb.com.my/Public/ProjectStatus.aspx

TNB turut menyediakan pakar isu khusus di setiap negeri untuk membantu pihak pemaju dan pengguna sistem dalam menangani sebarang isu atau pertanyaan berkaitan e-Application. 

Mereka boleh dihubungi melalui senarai mengikut negeri di https://eapplication.tnb.com.my/Public/SMEList.aspx

Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai e-Application, pengguna boleh menghantarnya ke alamat emel eapplication@tnb.com.my atau hubungi Careline TNB (Pusat Pertanyaan Setempat) di talian 1300-88-5454. - BERNAMA

Kerajaan negeri tidak tahu nilai sejarah Islam

KEPALA BATAS, SABTU, 31 Disember, 2011: Pergerakan Pemuda UMNO menyifatkan keputusan Kerajaan Negeri Kedah merobohkan Madrasah Solihin yang berusia 100 tahun untuk membina kompleks membeli-belah adalah tindakan bodoh dan tidak berpandangan jauh.

Ketua Penerangannya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas itu sepatutnya berusaha memelihara bangunan warisan sejarah Islam di negeri itu dan bukannya memusnahkan demi tujuan komersial.

"Perkembangan itu sangat membimbangkan semua pihak dan ia menunjukkan seolah-olah kerajaan negeri Kedah tidak tahu menilai sejarah kedatangan Islam ke negara ini,” katanya. - BERNAMA

Kira-kira 5,300 orang daftar untuk jadi calon pilihan raya di Iran

TEHRAN, SABTU, 31 Disember, 2011: Kira-kira 5,283 orang termasuk 390 wanita mendaftar sebagai calon dalam pilihan raya Parlimen yang dijadualkan pada 2 Mac depan, kata Kementerian Dalam Negeri Iran, hari ini. 

Majlis Ulama Iran, ulama konservatif dan pakar undang-undang akan menilai mereka yang mendaftar bagi memastikan calon memenuhi kriteria untuk mengisi 290 kerusi Parlimen.
Setiap calon mesti warga negara Iran berumur di antara 30 dan 75 tahun dan mesti mempunyai kelulusan sarjana universiti atau setaraf. - AFP

Anwar tidak wajar heret rakyat untuk selesai masalah peribadi

BERA, SABTU, 31 Disember, 2011: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya mengheret rakyat mengadakan demonstrasi jalanan bagi menyelesaikan masalah peribadi yang dihadapinya. 

Beliau berkata, kempen "Bebas Anwar 901" yang dirancang sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 9 Januari ini boleh mencetuskan huru-hara dan menggugat keselamatan orang ramai.

"Kempen itu adalah tindakan yang boleh memberikan kesan buruk dan menggugat kestabilan baik dari segi keamanan, politik, sosial dan ekonomi negara," katanya selepas majlis bersama Peserta Felcra Projek Tanah Kelompok (RTK) Tembangau di sini, hari ini.

Beliau berkata, Penasihat PKR itu perlu menghormati keputusan yang akan dibuat mahkamah pada 9 Januari ini berhubung kes liwatnya kerana keputusan itu akan dibuat berdasarkan perbicaraan dan bahan bukti kukuh yang dikemukakan di mahkamah. 

"Anwar boleh membuat rayuan jika keputusan hakim nanti tidak memihak kepadanya tetapi tidak perlu mengheret rakyat dalam soal peribadinya,” katanya. - BERNAMA

Sokong siapa sahaja calon pilihan BN

KANGAR, SABTU, 31 Disember, 2011: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu mahu anggota komponen Barisan Nasional (BN) memberi sokongan kepada siapa sahaja yang dipilih sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang. 

Md Isa yang juga Pengerusi BN negeri berkata, apa yang penting ialah kemenangan parti dan bukannya calon yang bertanding.

Katanya, sekiranya anggota BN bersatu dan bekerja keras, beliau yakin BN negeri mampu menawan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan DUN Simpang Empat pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Unit Pembangunan Insan (UPI), Pejabat Menteri Besar Perlis di sini hari ini. 

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan sijil kepada kakitangan UPI yang menghadiri Kursus Bina Bangsa dan Negara di Taman Negeri Wang Kelian dekat sini baru-baru ini. - BERNAMA

Polis tahan dua lagi lelaki berhubung kes bunuh kerani bank

SHAH ALAM, SABTU, 31 Disember, 2011: Polis menahan dua lagi lelaki berhubung kes bunuh kerani bank, yang ditemui mati dengan 15 kesan tikaman di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong pada 21 Disember lalu, lewat malam tadi dan awal pagi ini. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah, berkata dengan tangkapan itu, polis mengesahkan menahan lima lelaki dan percaya siasatan kes pembunuhan Rozana Mohd Yusak, 35, dapat diselesaikan.

"Kita maklumkan kepada keluarga mangsa dan tindakan lanjut akan diambil dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, selain tiga lelaki yang ditahan di Lembah Pantai dan Datuk Keramat sebelum ini, seorang lagi lelaki berusia 20 tahun ditahan kira-kira jam 11 malam tadi di kawasan Bukit Bintang. 

“Polis merampas sebuah telefon bimbit dipercayai milik mangsa yang berada dalam simpanan lelaki terbabit. Ketika ditahan, suspek didapati positif dadah jenis syabu," katanya 

Beliau berkata, seorang lagi lelaki berusia 23 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kira-kira jam 4 pagi tadi. 

"Kesemua suspek kini dalam tahanan reman polis dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kita minta supaya semua pihak berhenti dari membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini," katanya. 

Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata, polis percaya pembunuhan itu dilakukan oleh lebih daripada seorang suspek berdasarkan kesan kecederaan pada tubuh mangsa, yang dipercayai mengenali suspek. 

Beliau berkata, polis turut menemui beberapa senjata tajam termasuk sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa dan barang bukti seperti seluar, jaket dan tuala yang mempunyai kesan darah daripada suspek yang ditahan di Datuk Keramat manakala motosikal milik mangsa pula dirampas daripada seorang suspek yang ditahan di Lembah Pantai, semalam. 

“Sebanyak lima telefon bimbit dipercayai milik mangsa dirampas daripada empat suspek yang ditahan selain beberapa barangan lain termasuk kad bank, kad kredit, komputer riba, beg tangan berjenama, 'pen drive' dan 'external hard disk',” katanya. 

Semalam, polis menahan tiga lelaki secara berasingan berhubung kes bunuh itu. 

Dalam kejadian jam 1.30 pagi, 21 Disember lalu, Rozana ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman pada bahagian belakang badannya di rumah sewanya. 

Beliau disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur. 

Sementara itu, Tun Hisan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Asisten Superintendan Ahmad Fauzi Mohamed Zin dan Asisten Superintendan Mohd Fadhil Min kerana dapat menyelesaikan kes bunuh itu. 

"Kita mengucapkan tahniah kepada kedua-dua anggota ini kerana dedikasi mereka yang berjaya menyelesaikan kes ini yang pada mulanya polis tidak mendapat sebarang petunjuk," katanya. - BERNAMA

Dua laporan polis bantah demonstrasi bebaskan Anwar

KUNAK, SABTU, 31 Disember, 2011: Dua persatuan suku kaum di sini hari ini membuat laporan polis berhubung rancangan pihak tertentu mengadakan demonstrasi “Kempen Bebaskan Anwar 901” di ibu negara pada 9 Januari ini.

Laporan pertama dibuat oleh Abdul Sabur Wahid, 49, mewakili beberapa suku kaum Suluk dan Ketua Bahagian Persatuan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PRBMM).

Laporan kedua pula dibuat oleh Zahari Lorong. Kedua-dua laporan itu dibuat di di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak di sini.

Ketika laporan dibuat para penyokong persatuan membawa sepanduk antara lain tertulis, ”Kami Cintakan Keamanan dan Kedamaian, Bukan Rusuhan, Jangan Persendakan Sistem Kehakiman Negara, Kami Tidak Perlukan Pemimpin Tidak Bermoral, Kami Bantah Perhimpunan Bebaskan Datuk Seri Anwar”.

Abdul Sabur berkata, beliau dan beberapa rakan lain meminta pihak berkuasa menyiasat dan sekiranya benar perlu menghalang serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara tersebut.

Penghakiman kes Anwar akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari ini. - BERNAMA

Terengganu sokong penubuhan Majlis Bahasa Inggeris

KUALA TERENGGANU, SABTU, 31 Disember, 2011: Terengganu menyokong penuh dan menyambut baik penubuhan Majlis Bahasa Inggeris tahun depan bagi mengkaji dan menambah baik sistem pengajaran, pembelajaran dan pencapaian Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad RAzif Abdul Rahman berkata, kebanyakan pelajar di Terengganu masih lemah dalam menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Ini mungkin disebabkan kekurangan tenaga pengajar yang mahir dalam bahasa itu menyebabkan ada pelajar kita yang tercicir pada mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Kita mahu lebih ramai guru-guru yang mahir dalam Bahasa Inggeris dihantar ke Terengganu bagi meningkatkan penguasaan pelajar,” katanya pada program pemimpin bersama masyarakat di 18 Rijmen Askar Melayu Diraja (18 RAMD) Kem Seri Pantai, Seberang Takir di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan menubuhkan Majlis Bahasa Inggeris bagi mengkaji kualiti dan standard sistem pengajar, pembelajaran serta pencapaian bahasa itu di kalangan pelajar. - BERNAMA

Penerbangan terus ke Russia dengan Transaero Airlines

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011: Usaha tanpa henti bahagian pemasaran Malaysia Airports dan promosi agresif Tourism Malaysia terus membuahkan hasil bagi memastikan industri penerbangan kukuh ketika mengakhiri 2011. 

Bagi mengakhiri tahun ini pada kedudukan yang positif, Transaero Airlines, syarikat penerbangan kedua terbesar Russia, membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Menurut Malaysia Airports dalam satu kenyataan, Transaero, satu-satunya syarikat penerbangan dari Russia yang beroperasi ke Kuala Lumpur, menawarkan penerbangan mingguan setiap hari Sabtu dari Moscow dan Kuala Lumpur dan sebaliknya, menggunakan pesawat Boeing 763 dengan 255 tempat duduk.

Penerbangan sulung UN551 mendarat di KLIA hari ini dan diberikan sambutan cara negara ini oleh Malaysia Airports dan Tourism Malaysia. 

Malaysia Airports menyatakan, Transaero menjalankan penerbangan sewa khas ke KLIA sejak beberapa tahun lalu dan mewujudkan permintaan pasaran yang mencukupi bagi laluan ini untuk syarikat penerbangan itu memulakan operasi berjadual. 

Pengarah Urusan, Tan Sri Bashir Ahmad berkata, Malaysia Airports amat gembira dengan keputusan Transaero memasukkan Malaysia ke dalam rangkaian mereka dan mewujudkan sambungan terus antara Malaysia dan Russia. 

"Perkhidmatan Transaero membuka pasaran baru untuk kami dan kami mengharapkan yang terbaik bagi operasi mereka di Kuala Lumpur. Kami mengharapkan syarikat penerbangan ini akan stabil dan mengukuhkan operasinya ke Kuala Lumpur dan diharapkan, meningkatkan kekerapan mereka ke KLIA tidak lama lagi ". 

Beliau berkata, kerjasama dan hubungan erat antara Malaysia Airports dan Tourism Malaysia serta dasar pro perniagaan Kementerian Pengangkutan berjaya membawa syarikat penerbangan dari Russia itu ke Malaysia. 

Transaero, syarikat penerbangan ke-57 yang menawarkan khidmat ke Kuala Lumpur, akan menyediakan kemudahan antara Kuala Lumpur dan Moscow serta mengembangkan perdagangan dua hala, pelaburan dan pelancongan bagi kedua-dua negara. 

Pada tahun ini, selain daripada Transaero, KLIA juga menerima Air Koryo dan Lion Air, manakala Egypt Air membuat kemunculan semula ke KLIA. 

Transaero, yang terbang ke China, Jepun, Thailand dan India, juga menawarkan perkhidmatan ke bandar utama Russia dan juga syarikat penerbangan utama ke Kazakhstan. 

Rangkaiannya meliputi banyak destinasi Eropah seperti Austria, Cyprus, England, Jerman, Greece, Israel dan Sepanyol. - BERNAMA

DPPIM mahu Khazanah Nasional pantau Iskandar Investment

JOHOR BAHARU, SABTTU, 31 Disember, 2011: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Iskandar Malaysia (DPPIM) meminta Khazanah Nasional Berhad memantau dengan lebih telus setiap kegiatan anak syarikatnya, Iskandar Investment Berhad (IIB). 

Presidennya, Mohd Salikon Sarpin dalam satu kenyataan, berkata pihaknya terkejut di atas pendedahan tentang penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang dilakukan sebahagian kecil pegawai IIB.

"Tindakan sebahagian kecil pegawai IIB itu diumpamakan 'harapkan pagar, pagar makan padi," katanya dan menambah, DPPIM bersetuju dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Beliau yang juga bekas Anggota Dewan Undangan Negeri dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkata, DPPIM sentiasa mendoakan IIB supaya terus berjaya bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk membangunkan Iskandar Malaysia dengan telus, cekap dan berproduktiviti.

"Segala keuntungan atau penjimatan hasil daripada pembangunan di Iskandar Malaysia diharap dapat disalurkan untuk pembangunan masyarakat sekeliling, usahawan dan yang lain.

"Impak daripada limpahan ekonomi tentunya amat diharapkan dan dapat dirasai oleh masyarakat setempat," katanya. - BERNAMA

Jamil Khir perjelas dakwaan seleweng wang zakat

SEPANG, SABTU, 31 Disember, 2011: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit penyelewengan wang zakat adalah tidak benar. 

Beliau berkata wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.

"Setiap tahun kerajaan beri bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf itu. 

Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan kejam, Jamil Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik terlebih dulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan. 

Beliau berpendapat laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan. 

"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya sampai di akhirat," katanya. 

Menurutnya pembangkang banyak memainkan isu membabitkan kerajaan Barisan Nasional untuk dipolitikkan supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf. 

Mengulas mengenai isu rumahnya, Jamil Khir berkata pihak berkenaan boleh membuat semakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menjelaskan rumahnya itu dibeli sejak tahun 1994 sebelum beliau dilantik sebagai menteri dan pembayaran bulanan juga masih dibuat sehingga kini. 

"Biasalah kalau ada sedikit penambahbaikan pada rumah itu. Saya dulu mejar jeneral, dua bintang dalam pegawai kerajaan...ada pencen penuh dan tidak peliklah saya layak buat pinjaman (perumahan)," katanya. 

Beliau juga berkata penjelasan beliau berkaitan dakwaan itu adalah muktamad dan berharap semua pihak memahami keadaan sebenar. - BERNAMA

Keadaan banjir di Johor terkawal, mangsa kekal 241 orang

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011: Keadaan kawasan yang dilanda banjir di Johor terkawal setakat pagi ini dan mangsa banjir di pusat pemindahan di Segamat kekal 241 orang dengan enam pusat pemindahan di daerah itu masih dibuka. 

Jurucakap Ibu Pejabat Bilik Gerakan Bencana Johor ketika dihubungi berkata setakat jam 10 pagi, enam pusat pemindahan itu menempatkan 58 keluarga dari Kampung Spangloi, Kampung Batu Badak, Kampung Sanglang, Kampung Pogoh, Kampung Tandong dan Kampung Kuala Paya.

Menurut jurucakap itu, banjir di enam kawasan perkampungan berkenaan belum surut disebabkan air sungai yang masih melimpah berikutan fenomena air pasang besar.

Dalam pada itu, menurut portal Majlis Keselamatan Negara, keadaan banjir di Pahang pulih sepenuhnya dan semua mangsa sudah kembali ke rumah masing-masing. - BERNAMA

AIM terima bayaran balik 100 peratus di Kedah dan Perlis

ALOR SETAR, SABTU, 31 Disember, 2011: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima 100 peratus bayaran balik daripada peminjam di Kedah dan Perlis sepanjang tahun ini. 

Pengurus Wilayah AIM Kedah dan Perlis, Faizal Noor Laiman, berkata jumlah peminjam di dua negeri itu ialah sebanyak 35,000 dengan pinjaman yang dibuat sebanyak RM212 juta.

"Kita rasa sangat gembira kerana sahabat kita (peminjam) dapat melunaskan semua pinjaman mereka bagi tahun ini dan membuat pembayaran secara berdisiplin," katanya ketika program Hari Sukan Blok 3, Asun di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan prestasi yang baik di Kedah dan Perlis, AIM akan meningkatkan jumlah pinjaman di wilayah itu kepada RM271 juta bagi tahun depan. 

"Kita juga rasa sangat bertuah kerana sistem yang kita lakukan iaitu sistem sahabat mencari sahabat untuk membuat pinjaman nampaknya berjaya kerana semua ahli dapat membayar mengikut tempoh yang diberikan. 

"Melalui sistem itu, sahabat akan mencari orang yang mempunyai rekod yang baik untuk membuat pinjaman dan melalui itu, mereka tidak mempunyai masalah untuk membayar balik pinjaman yang dibuat," katanya. 

Faizal Noor berkata, tempoh bayaran balik pinjaman yang diberikan adalah enam bulan sehingga lima tahun dengan jumlah pinjaman serendah RM100 sehingga RM50,000. 
"Jika ada sahabat tidak boleh membayar mengikut tempoh yang diberikan, kita akan berunding dengan mereka seperti melanjutkan tempoh bayaran balik. Ia bergantung kepada masalah yang dihadapi," katanya. 

Beliau berkata, terdapat tiga jenis pinjaman yang diberikan iaitu pinjaman i-mesra, i-bestari dan i-sejahtera. 

AIM turut mempunyai Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat untuk diberikan kepada sahabat yang mengalami bencana, masalah kesihatan, kecacatan dan kematian. - BERNAMA

Notis berkaitan operasi perkhidmatan KTM Komuter

NOTIS berkaitan operasi perkhidmatan KTM Komuter yang dilanjutkan sehingga awal pagi pada 1 Januari 2012 sempena sambutan Tahun Baru ditampal di kaunter tiket di KL Sentral, Kuala Lumpur hari ini. Perkhidmatan tambahan ini membabitkan laluan Mid Valley dan KL Sentral ke Rawang, Putra dan Kl Sentral ke Seremban, Putra dan KL Sentral ke Pelabuhan Klang dan Batu Caves sahaja. Tren terakhir dari Mid Valley dan KL Sentral ke Rawang pada 2.06 pagi, Putra dan KL Sentral ke Seremban (2 pagi) manakala Putra dan KL Sentral ke Pelabuhan Klang (2.06 pagi). - Foto Chan Wai Yew

Lima pengedar dadah dihukum mati di Vietnam

HANOI, SABTU, 31 Disember, 2011: Mahkamah di selatan Vietnam menjatuhkan hukuman mati terhadap lima orang atas kesalahan mengedar heroin. 

Akhbar milik kerajaan, Tuoi Tre, berkata lima yang disabit kesalahan di Ho Chi Minh kerana mengedar tujuh kilogram heroin dari negara jiran, Kemboja masuk ke Vietnam.

Akhbar itu turut melaporkan tiga lagi dipenjara seumur hidup atas dakwaan yang sama pada penghujung perbicaraan tiga hari di Mahkamah Awam Ho Chi Minh, semalam. - AP

Warga KPKK perlu lebih komited realisasi Gagasan 1Malaysia

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini menyeru semua warga kementerian untuk terus berjuang memberi sumbangan yang lebih komited dalam mengisi tuntutan gagasan 1Malaysia pada tahun depan.

Beliau berkata, semangat kesatuan warga Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) harus terus dipupuk kerana kementerian itu mempunyai misi dan visi yang amat berat untuk dijayakan dalam program-programnya.

Ini kerana, katanya, kementerian sebelum ini telah berjaya menyatupadu rakyat pelbagai kaum di negara ini melalui pelbagai program berbentuk perayaan.

"Dengan sisipan, isian dan belaian yang dilakukan tahun ini, setiap warga KPKK mempunyai saham dalam gagasan 1Malaysia,” katanya ketika melancarkan Karnival KPKK sempena sambutan Ambang Tahun Baru 2012 di Dataran Merdeka di sini.

Lebih 3,000 warga KPKK dari 18 buah agensi hadir memeriahkan karnival yang bermula seawal pukul 7 pagi ini. - BERNAMA

China akan buka lebih banyak sektor untuk pelabur asing

BEIJING, SABTU, 31 Disember, 2011: Dalam usaha mengurangkan sekatan ke atas pelaburan asing, kerajaan pusat China mengeluarkan garis panduan baharu untuk menggalakkan pelaburan asing dalam industri-industri baru berkembang yang strategik.

Garis panduan yang dikeluarkan bersama oleh Suruhanjaya Pembangunan dan Reformasi Negara dan Kementerian Perdagangan itu menggalakkan lebih banyak kemasukan pelaburan asing ke sektor teknologi penjimatan tenaga dan mesra alam.

Selain itu, sektor baru seperti teknologi maklumat generasi baharu, bioteknologi, pembuatan kelengkapan mewah, tenaga alternatif, bahan-bahan maju dan kereta bahan api alternatif turut membuka peluang yang serupa kepada pelabur asing.

Garis panduan itu, berkuatkuasa 30 Januari 2012 akan membolehkan pelabur asing melabur dalam lebih banyak sektor dan memansuhkan sekatan ke atas perkadaran modal asing dalam beberapa sektor.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga mengalu-alukan pelaburan asing dalam pembuatan barangan mewah, industri perkhidmatan moden dan industri kitar semula.

Bagaimanapun, kerajaan akan menarik balik bantuan bagi modal asing dalam industri automotif untuk melindungi perkembangan industri tempatan.

Pelaburan asing dalam sektor silikon polikristalin dan kimia arang tidak dibantu oleh kerajaan disebabkan oleh lebihan kapasiti industri dan pembinaan berulang, demikian menurut garis panduan itu.

Dalam sebelas bulan pertama tahun ini, China menarik pelaburan langsung asing berjumlah US$103.77 bilion, meningkat 13.15 peratus daripada tahun lepas. - BERNAMA

Tiga kanak-kanak mangsa lemas di Sungai Perak ditemui

GERIK, SABTU, 31 Disember, 2011: Tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang di Sungai Perak berhampiran Kampung Bukit Merikan, Kuala Kenderong, di sini dua hari lalu ditemui mati lemas awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik, DSP Wan Jamil Wan Chik berkata, mayat Mohd Saiful Haikal Dahari, 7, dan sepupunya Muhammad Amir Fadlilah Ruzai, 11, ditemui terapung kira-kira 10km dari tempat kejadian pukul 3 pagi tadi oleh orang awam.

Sementara mayat Muhammad Adham Hamiz Ruzai, 8, ditemui kira kira 500 meter jarak dari tempat sama pukul 9 pagi oleh pasukan penyelamat, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jamil berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan dituntut keluarga mereka petang ini untuk dikebumikan.

Tiga kanak-kanak berkenaan, dua daripadanya adik-beradik dilaporkan menaiki sebuah bot di tepi Sungai Perak kira kira 50 meter dari rumah mereka pada pukul 10 pagi Khamis.

Salah seorang daripada keluarga mangsa membuat laporan polis selepas menyedari ketiga-tiga mereka tidak pulang ke rumah sehingga pukul 2.30 petang hari yang sama. – BERNAMA

PRU-13: Gerakan Selangor yakin rampas 4 DUN, 1 Parlimen

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011:Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Selangor yakin dapat merampas kembali empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di Selangor yang mereka tewas kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.

Kawasan berkenaan ialah DUN Teratai, Bukit Lanjan, Bukit Gasing dan Kota Alam Shah serta Parlimen Puchong.

Pengerusi Gerakan, A. Kohilan Pillay berkata, perkara ini didorong trend semasa pengundi di kawasan terbabit yang kembali memberi kepercayaan kepada BN untuk menerajui Selangor selepas hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri itu, yang berdepan pelbagai masalah sejak memerintah pada 2008.

"Segala persiapan parti kini berada pada tahap yang amat memuaskan, dan kami sudah bersedia untuk mengatur strategi baru bagi memenangi kembali hati rakyat di negeri ini.

"Saya akan memastikan jentera pilihan raya Gerakan Selangor sudah bersedia dan akan membuat segala perancangan terbaik dengan mengkaji pelbagai perkara supaya tiada lagi ruang untuk pembangkang secara berterusan melemparkan tuduhan terhadap Gerakan dan BN,” katanya di sini semalam.

Terdahulu, Kohilan Pillay, yang juga Timbalan Menteri Luar, menyampaikan sumbangan beg sekolah dan baucer tunai bernilai RM150 kepada 100 kanak-kanak terpilih di sekitar Puchong. – BERNAMA

YSM beri kelengkapan sekolah 150 pelajar susah

JOHOR BAHRU, SABTU, 31 Disember, 2011: Seramai 150 orang pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di sekitar ibu negeri menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis yang disumbangkan oleh Yayasan Sayang Mutiara (YSM) dalam program Jom Kembali Ke Sekolah, di sini. 

Pengerusi YSM, Datuk Ahmad Kemin berkata, sumbangan diberikan adalah inisiatif bagi mengurangkan beban keluarga terbabit dalam memberikan pendidikan sempurna kepada anak mereka.

"Diharap pada masa depan mereka akan berjaya dalam kerjaya masing-masing dan seterusnya menjadi penyumbang kepada golongan yang memerlukan bantuan.

"Saya juga harap para guru bukan saja mengajar untuk kecemerlangan akademik tetapi memberi bimbingan tunjuk ajar kepada anak-anak ini agar berjaya dalam kehidupan," katanya dalam ucapan alu-aluan bersempena majlis penyerahan bantuan tersebut di Dewan Raya Kampung Melayu, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengarah YSM, Datin Ramlah Mohamed; Pemegang Amanah YSM, Datuk Abdul Kadir Annuar dan Datuk Mahad Mohd. Said serta Pengarah Kewangan Kumpulan Mutiara Motors, Mahani Ahmad.

YSM ditubuhkan pada 2009 dengan matlamat mengurus dan menyelaras aktiviti amal kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat melalui pelbagai bantuan dan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan, barangan dan peralatan keperluan pendidikan di sekolah.

Ahmad yang juga Pengerusi Eksekutif Mutiara Motors berkata, YSM juga telah menganjurkan satu program tahunan bagi menghargai pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dinamakan Program Anugerah Pelajar Cemerlang.

Jelasnya, dalam program tersebut, YSM akan menyampaikan anugerah dalam bentuk sijil, piala dan wang tunai kepada tiga orang pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan terbabit.

"Pelajar-pelajar tersebut dipilih dari sekolah luar bandar di 10 daerah seluruh negeri dan dalam menjayakannya, kami turut mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor," katanya lagi. - UM

Jabatan Zakat Kedah bina sekolah khas

ALOR SETAR, SABTU, 31 Disember, 2011: Jabatan Zakat Negeri Kedah akan membina sebuah sekolah menengah khas bagi anak yatim dan pelajar pintar daripada keluarga miskin bagi memastikan mereka mempunyai masa depan yang baik.

Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob berkata, sekolah yang menempatkan pelajar tingkatan satu hingga lima itu akan dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Kedah di Belantik, Sik.

“Jika mereka duduk dengan ibu bapa, mereka susah belajar walaupun cerdik kerana masalah kemiskinan. Sekolah itu yang ada kemudahan asrama kita jangkakan boleh menempatkan 200 pelajar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh empat syarikat di sini.

Beliau berkata, majlis itu memperuntukkan RM5 juta untuk pembinaan sekolah yang dijangka dapat dimulakan pertengahan tahun depan.

“Kita hanya tunggu pelan itu siap,” katanya.

Sementara itu, Syeikh Ghazali berkata, kutipan zakat tahun ini adalah sebanyak RM102 juta, melebihi sasaran RM83 juta yang ditetapkan.

“Tahun 2010 kita kutip sebanyak RM80 juta kerana itu kita hanya sasarkan RM83 juta tetapi kutipan kita jauh lebih banyak. Ada lagi yang mahu membayar zakat sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa kecewa dengan kutipan zakat padi yang baginya terlalu rendah berbanding kawasan sawah padi yang luas di negeri Kedah.

“Negeri Jelapang Padi, kalau ikutkan keluasan sawah padi kita sepatutnya dapat RM38 juta setahun tetapi kutipan kita hanya kira-kira RM3 juta. Untuk itu kita telah adakan sesi penerangan tentang zakat ini kepada penanam padi dan kita panggil semua amil,” katanya.

Empat syarikat yang menyerahkan zakat perniagaan mereka kepada Syeikh Ghazali ialah Koperasi Bank Persatuan Malaysia Berhad (RM480,039.73), Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah (RM170,628.70), Permodalan Usahawan Nasional Berhad (RM100,000) dan Public Bank Berhad (RM15,000), dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM765,668.43. – BERNAMA

Singapura ubah skim sewa rumah

SINGAPURA, SABTU, 31 Disember, 2011: Kerajaan Singapura akan mengubah skim Sewa Rumah Sementara (IRH) bagi membantu keluarga kurang berkemampuan untuk mendapatkan tempat tinggal sementara.

Menteri Pembangunan Nasional, Khaw Boon Wan berkata, penggubalan skim itu akan memastikan operator swasta memberikan keutamaan kepada keluarga warga Singapura terlebih dahulu.

''Kementerian dan Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) akan memperbaiki skim berkenaan dalam beberapa cara," katanya dalam laman blognya, semalam.

Beliau berkata, langkah pertama adalah HDB akan mengehadkan peranan operator swasta.

"Langkah kedua, HDB akan memperkenalkan lebih banyak garis panduan bagi memastikan kesesuaian penyewa untuk satu tempat tinggal bagi membantu mengurangkan konflik.

Di bawah IRH, dua keluarga akan berkongsi satu rumah flat bagi mengurangkan kadar sewa rumah mereka.

''Langkah ketiga, HDB akan meningkatkan tempoh sewaan dari enam bulan kepada setahun.

''Ia boleh diperbaharui sehingga dua tahun,'' ujarnya. - AGENSI

Projek sekolah diarah henti

YAP Pian Hon (duduk, tengah) dan Abdul Rahman Mohd. Amin (duduk, kiri) menunjukkan surat arahan pemberhentian projek pembinaan SMK Sungai Ramal di Kajang, kelmarin.

Oleh ROSLAH OTHMAN

KAJANG, SABTU, 31 Disember, 2011: Tindakan kerajaan negeri mengarahkan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ramal di sini dihentikan amat dikesali oleh penduduk sekitar kawasan itu.

Ketua Pusat Perkhidmatan dan Penyelarasan Kawasan Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hon berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mengeluarkan surat arahan itu pada Oktober lalu.

Menurutnya, melalui arahan itu, MPKj turut mengarahkan supaya kebenaran merancang dipohon semula sedangkan projek tersebut telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat setelah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Apa yang dikesalkan ialah tindakan ini telah menyebabkan pelajar-pelajar yang tinggal di kawasan terlibat terpaksa terus menanggung kesulitan.

“Memandangkan tidak ada sekolah menengah di kawasan itu, mereka tidak ada pilihan lain selain terpaksa bersekolah di Kajang atau Bangi,” ujarnya pada sidang akhbar yang diadakan di sini semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Serdang, Mejar (B) Abdul Rahman Mohd Amin dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Serdang, Ungku Md. Salleh Ungku Abd. Jamal.

Pian Hon berkata, pada masa ini, kawasan Sungai Ramal hanya ada dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramai Dalam dan SK Sungai Ramai Luar.

Beliau berkata, situasi sama turut berlaku di Bandar Bukit Mahkota, Bangi apabila kerajaan negeri mengeluarkan arahan agar menghentikan kerja-kerja pembinaan sebuah sekolah rendah di situ.

“Sekiranya kerajaan negeri memikirkan kebajikan rakyat, mereka tidak akan bertindak sedemikian rupa. Kita melihat tindakan ini lebih cenderung kepada isu politik,” katanya.

Asrama Yayasan Selangor tetap diroboh, tender dibuka

 Empat wakil Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor menunjukkan Asrama Tun Dr. Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin yang bakal dirobohkan oleh kerajaan negeri Selangor.


KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Diseember, 2011Walaupun menerima kritikan serta tekanan daripada pelbagai pihak, namun Yayasan Selangor di bawah kepimpinan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap dengan keputusan untuk merobohkan asrama yayasan berkenaan di Kampung Pandan di sini.

Penyelaras Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS), Badrulzaman Baharuddin berkata, walaupun pelbagai usaha telah dijalankan termasuk menghantar memorandum ke pejabat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya kerajaan negeri menimbang semula rancangan merobohkan asrama berkenaan, namun ia langsung tidak dilayan.

Malah, katanya, ruang untuk berbincang juga ditutup apabila Yayasan Selangor membuka tender kepada pemaju-pemaju yang berminat membangunkan tanah tapak asrama berkenaan apabila dirobohkan nanti.

"Kami kesal dengan sikap yayasan itu. Mereka langsung tidak mendengar dan melayan tuntutan kami supaya menimbang semula rancangan merobohkan asrama dan menjalankan pembangunan di tanah tersebut.

"Kami yakin mereka sememangnya telah lama merancang mahu merobohkan asrama itu kerana tidak memberi ruang untuk berbincang selain telah menghentikan pengambilan pelajar baru ke asrama berkenaan mulai tahun hadapan.

"Lebih mengecewakan kami, tiada alternatif daripada pihak yayasan atau kerajaan negeri untuk membina asrama baru menggantikan asrama tersebut. Mereka lebih berminat memajukan serta mendapat keuntungan daripada penjualan tanah berkenaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Pada Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan rancangan Kerajaan PKR Selangor mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor di Kampung Pandan di sini dipercayai untuk menambah aset kerajaan negeri yang semakin berkurangan.

Bagaimanapun, rancangan tersebut ditentang oleh banyak pihak seperti GSAYS, Persatuan Alumni Asrama Yayasan Selangor (Pays), bekas-bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor dan juga ibu bapa pelajar.

Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1979 bertujuan memberi peluang kepada pelajar dari kawasan kampung di Selangor melanjutkan pelajaran di sekolah terpilih sekitar Lembah Klang.

Asrama tersebut terdiri daripada Asrama Tun Dr. Ismail yang menempatkan pelajar lelaki, manakala Asrama Toh Puan Norashikin menempatkan pelajar perempuan.

Kebanyakan mereka dihantar ke Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist.

Menurut Badrulzaman, Yayasan Selangor yang ditubuhkan untuk membantu rakyat negeri berkenaan terutama daripada aspek pendidikan semakin lari daripada perjuangan asal.

"Kalau begini caranya, lebih baik tiada Yayasan Selangor. Mereka bukan membantu tetapi merobohkan pula asrama yang telah melahirkan banyak golongan berjaya sehingga ke hari ini," jelasnya. 

Nik Aziz ambil sikap membisu

Enggan ulas kenyataan Hasan Ali sangkal mohon maaf di rumah MB

Oleh Meor Hisham Zulkifli dan Norliza Wasilan
KOTA BHARU, SABTU, 31 Disember, 2011: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mengambil sikap berdiam diri berhubung kenyataan EXCO Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang menyangkal memohon maaf kepada pucuk pimpinan PAS ketika mengadakan pertemuan bersama kepemimpinan tertinggi parti itu, baru-baru ini. 

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan ketika ditanya mengenai Dr Hasan, sebaliknya hanya memberi isyarat tidak mahu memberi sebarang ulasan perkara itu selepas mengadakan kuliah Jumaat di sini, semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Dr Hasan menafikan beliau memohon maaf kepada pucuk pimpinan Pas mengenai kritikan terhadap dasar parti itu pada pertemuan bersama kepemimpinan tertinggi parti di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10, di sini, baru-baru ini.

Penafian itu sekali gus menolak kenyataan Nik Aziz bahawa Dr Hasan yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu mengemukakan permohonan maaf kepada pucuk pimpinan parti. 

Dr Hasan dilaporkan berkata, soal beliau turun ke Kota Bharu untuk memohon maaf kepada pucuk pimpinan seperti dilaporkan media adalah tidak benar sama sekali. 

Pertemuan di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan itu dihadiri Dr Hasan; Nik Aziz, bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din. 

Sementara itu, Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, sudah tiba masanya untuk Nik Aziz melepaskan jawatan parti atau bersara daripada politik kerana tidak lagi mampu membuat penilaian tepat terhadap isu berbangkit.

“Terbaru dalam kes Datuk Dr Hasan Ali. Dia tak minta maaf pun, tapi Nik Aziz kata dia minta maaf. Orang cakap lain dia faham lain. Jadi macam mana nak memimpin lagi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. 

“Sudah tiba masa untuk Nik Aziz berundur kerana keadaannya sekarang yang semakin uzur dan tidak lagi mampu mentadbir dengan berkesan,” katanya. 

Sementara itu, Pengerusi Amanah Raya Berhad, Datuk Dusuki Ahmad, apabila timbul sesuatu isu seperti ini, jelas ada pihak yang bercakap benar dan ada pihak yang berbohong. 

“Namun melihat kepada rekod Nik Aziz sebelum ini beliau sering membuat keputusan yang lebih mengutamakan politik diri, mengatasi perkara lain termasuk aspek yang menyentuh soal kepercayaan dan iktikad,” katanya. - Berita Harian

Osbon juara MLM raih wang tunai RM350,000

Oleh ABD. AZIZ ITAR
SHAH ALAM, SABTU, 31 Disember, 2011: Kumpulan paling popular dalam Maharaja Lawak Mega (MLM), Osbon yang dianggotai oleh Os dan Abon menepati ramalan ramai apabila muncul juara sekali gus merangkul hadiah wang tunai RM350,000 pada final pertandingan itu di Stadium Melawati di sini malam tadi.

Mereka mengetepikan saingan terdekat iaitu kumpulan Boboi yang muncul naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM250,000 diikuti set meraih tempat ketiga dengan membawa pulang RM150,000.

Pada pertandingan peringkat separuh akhir di Johor Bahru, Johor pada 23 Disember lalu, Osbon dan Boboi mendahului semua peserta dengan masing-masing mendapat 72 markah diikuti Saehu (59), Syok (58) dan Pi Mai (49).

Sementara itu, kumpulan Syok menjadi pemenang keempat dengan meraih hadiah RM50,000 pada pertandingan yang disiarkan melalui saluran Astro Warna.

Pertandingan itu mengadili para pemenangnya menerusi 70 markah daripada para pengkritiknya manakala 30 markah lagi diperolehi menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton di rumah.

Tiga pengkritik tetap MLM ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan dan Zainal Abidin Hassan manakala pengkritik jemputan pada final pertandingan itu ialah pelakon Aaron Aziz.

Selain Osbon dan Boboi, MLM turut disaingi oleh dua lagi kumpulan iaitu SYOK yang dianggotai oleh Suhaimi, Ifa Raziah dan Arif Sudin dan Saehu (Eko, Bocil dan Vicha). - Utusan Malaysia

77 buat laporan polis bantah demo 901

AZHARI Shaari (tengah) menujukkan laporan polis menentang `Kempen Bebaskan Anuar 901’ sambil wakil-wakil sayap Barisan Nasional berdemostrasi membantah kempen berkenaan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam.

Oleh ABDUL YAZID ALIAS, WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS dan RASMI ABDULLAH 
KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011: Sebanyak 77 laporan polis dibuat di seluruh negara semalam meminta pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba melancarkan perhimpunan haram menerusi ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’.

Daripada jumlah itu, sebanyak 49 laporan polis dibuat di Selangor apabila Pergerakan Pemuda UMNO bahagian mengetuai beberapa pertubuhan politik dan bukan kerajaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Turut membuat laporan di Selangor adalah beberapa pertubuhan di daerah Kuala Langat yang mengemukakan 11 laporan polis.

Sebanyak 28 lagi laporan polis dibuat masing-masing sembilan di Pahang, enam di Sabah dan Terengganu, Kuala Lumpur (4), Perak (2) serta satu di Pulau Pinang.

Selain Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, antara pertubuhan-pertubuhan lain yang membuat laporan di Shah Alam adalah Putera MIC Shah Alam, Putera MIC Selangor, Parti Progresif Penduduk (PPP) Selangor dan individu perseorangan yang membuat laporan di IPD daerah pada pukul 4 petang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Azhari Shaari berkata, tindakan pihak yang menganjurkan kempen berkenaan adalah tidak wajar kerana ia jelas tidak menghormati proses undang-undang di negara ini.

Katanya, selain mencetuskan huru-hara dan menggugat keselamatan orang ramai, kempen itu turut memberikan banyak kesan buruk terhadap kestabilan negara dari segi imej sehinggalah kepada aktiviti pembangunan negara dari segi sosial dan ekonomi.

“Kita menentang ‘Kempen Bebaskan Anwar 901’ yang dikatakan akan diadakan menjelang keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini.

“Kempen ini dilihat satu usaha yang tidak sihat kepada keamanan negara. Kempen ini juga dilihat seperti menghasut serta mencetuskan kebencian rakyat terhadap institusi perundangan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Putera MIC Selangor, A. Arvind; Timbalan Setiausaha Putera MIC Shah Alam, A. Prevrnavan dan Naib Ketua Pemuda PPP Selangor, Azli Rahman.

Di Kuala Langat, antara pertubuhan yang membuat laporan adalah Perkasa, Persatuan Jawa Kuala Langat, Persatuan Bugis, Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Jugra dan Pertubuhan Perkumpulan Wanita Kuala Langat. - UM

SJKC Aik Hua miliki kemudahan walau kurang murid

TIGA beradik, (dari kiri) Radiatul Adawiyah Khuri, Nurhidayatul Waheeda dan Mohd. Firdaus perlu menaiki bot untuk sampai ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua, Bukit Gantang, Taiping, semalam.
TAIPING, SABTU, 31 Disember, 2011: Dari segi fizikal, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Hua, yang terletak di kawasan pulau di Pasir Hitam, dekat sini tidak banyak berbeza berbanding sekolah lain di negara ini, malah kemudahan yang dimilikinya mungkin tiada di sekolah lain.

Percaya atau tidak, selain mempunyai 26 set komputer, bilik perpustakaan dan 25 bilik darjah selesa, sekolah itu yang hanya mempunyai dua murid pada tahun lalu, memiliki alat janakuasa elektrik menggunakan tenaga solar bernilai lebih RM300,000.

Tidak cukup dengan itu, bagi mengatasi masalah ketiadaan kemudahan air bersih di pulau itu, pihak sekolah menyuling air hujan menggunakan alat penapis air yang berharga RM350,000.

Bagaimanapun, kedudukannya yang terletak di kawasan pulau terpencil tanpa memiliki kemudahan asas menjadi antara punca sekolah berkenaan mengalami masalah ketiadaan murid sehingga nyaris ditutup.

Satu-satunya pengangkutan ke pulau itu ialah menaiki bot yang memakan masa perjalanan kira-kira 45 minit dengan kadar tambang RM150 sehala.

Selain sekolah tersebut, hanya terdapat sebuah klinik dan balai polis beroperasi di pulau itu, manakala penduduknya bergantung kepada generator untuk menerangi rumah mereka pada waktu malam.

Tidak hairanlah, dalam tempoh enam tahun lalu, sekolah yang sudah berusia 70 tahun itu hanya mempunyai dua murid yang kini terpaksa berpindah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah tahun depan.

Sukarelawan sekolah tersebut, Soo Lai Tong berkata, sukar untuk mendapatkan murid di pulau berkenaan kerana rata-rata penduduknya sudah berusia dan ramai yang telah berpindah dan tinggal di tempat lain.

"Namun begitu, kami berusaha sedaya upaya mencari murid memastikan sekolah ini terus beroperasi. Walaupun sudah berusia 70 tahun, tetapi ia masih mampu memberi pendidikan terbaik," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, hari ini. - UM

NGO persoal tiada tindakan terhadap Ariffahmi

KOTA BHARU, SABTU, 31 Disember, 2011: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini mempersoalkan kenapa sehingga sekarang tiada tindakan diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

Mereka mendesak SPRM agar memaklumkan kepada umum sekiranya Abdul Ariffahmi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) bersalah atau tidak berhubung dakwaan berlaku penyelewengan ketika beliau menjawat jawatan tersebut.

SPRM diminta memaklumkan hasil siasatan untuk memastikan integriti suruhanjaya itu sentiasa terjaga kerana sikap berdiam diri SPRM berhubung isu itu boleh menimbulkan persepsi bahawa ada 'tangan' yang cuba menyelamatkan seseorang daripada didakwa atas kesalahan rasuah.

Timbalan Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK), Wan Khairul Ikhsan Wan Muhammad berkata, tempoh sehingga lebih dua tahun yang diambil SPRM untuk menyelesaikan siasatan sangat lama, menyebabkan timbul banyak persepsi negatif mengenainya.

"Ini boleh menimbulkan pelbagai reaksi termasuk adakah SPRM cuba melindungi sesetengah pihak apabila laporan hasil siasatan masih tidak dimaklumkan.

"Sikap mendiamkan diri itu juga sebenarnya menimbulkan persepsi negatif kepada yang dituduh dan kepada badan yang menjalankan siasatan itu sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Siasatan SPRM terhadap Ariffahmi bermula pada 2009 apabila timbul dakwaan yang disiarkan di beberapa blog bahawa beliau melakukan penyelewengan di dalam PMBK selain kontroversi mengenai pelantikannya ke jawatan tersebut memandangkan Nik Aziz adalah bapa mertuanya.

Hasil siasatan itu, bagaimanapun masih belum diketahui kecuali kenyataan bekas Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd. Nor yang dilaporkan Utusan Malaysia pada 31 Julai lalu bahawa siasatan sudah selesai dan dihantar ke ibu pejabat suruhanjaya di Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Ia adalah kenyataan terakhir yang dikeluarkan SPRM Kelantan manakala ibu pejabat SPRM di Putrajaya juga masih belum mendedahkan sebarang laporan mengenai siasatan tersebut.

Wan Khairul Ikhsan menegaskan, ada dua perkara asas yang tidak boleh dipolitikkan di negara ini iaitu agama dan perbuatan rasuah justeru sesiapa sahaja yang didapati melakukan kesalahan itu perlu dihukum.

Sementara itu, Presiden Gerakan Selamatkan Kelantan (Gasak), Norazli Ahmad berkata, dakwaan mengenai penyelewengan itu sangat penting untuk diketahui umum kerana ia membabitkan sebuah kerajaan yang memerintah negeri.

"Pandangan saya kalau salah, dakwa dan kalau tidak, bebaskan. Cuma masalahnya sekarang, SPRM tidak berkata apa-apa selain kenyataan suruhanjaya itu bahawa laporan siasatan sudah dihantar ke Putrajaya.

"Rakyat mempunyai hak untuk tahu, justeru kita desak agar SPRM keluarkan hasil laporan siasatan dan bukannya terus berdiam diri kerana kita mahu tahu dan tidak akan lupa mengenai dakwaan penyelewengan itu," katanya. - UM

Jelajah Aman Kampus bendung gejala negatif

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011: Sebanyak 20 institusi pengajian tinggi awam dan lima swasta akan terlibat dalam program Jelajah Aman Kampus yang akan diadakan pada pertengahan Februari depan.

Program itu diperkenalkan sebagai langkah pencegahan untuk membendung ancaman-ancaman yang dihadapi mahasiswa seperti gejala sosial, usaha pemesongan pemikiran dan pelbagai strategi negatif yang sedang giat dijalankan oleh pihak tertentu.

Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, Jelajah Aman Kampus dilaksanakan bersandarkan empat asas utama bertujuan memastikan suasana keharmonian dan kedamaian di kampus sentiasa dipelihara.

"Program ini juga untuk menyedarkan mahasiswa agar penekanan diberikan sepenuhnya terhadap kecemerlangan sahsiah diri dan akademik. Selain itu, ia untuk menyuntik semangat patriotisme kepada mahasiswa agar terus memahami secara rasional tentang dasar-dasar yang sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.

"Program ini dijangka mengambil masa dua hingga tiga minggu, ia dianjurkan Aspirasi dengan kerjasama 15 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta mahasiswa universiti," katanya pada sidang akhbar mengenai program itu semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad; Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah dan Presiden Gagasan Pelajar India 1Malaysia, Mahaganapathy Dass.

Tambah Mohd. Shahar, program itu juga untuk menjelaskan isu-isu semasa untuk pembangunan intelek mahasiswa.

"Kita juga akan menterjemahkan sokongan majoriti mahasiswa terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan negara melalui kutipan tandatangan mahasiswa dan warga kampus.

"Kami menyasarkan kehadiran 1,000 mahasiswa daripada pelbagai kaum di setiap universiti dalam program jelajah ini. Selepas tamat jelajah di 25 institusi pengajian tinggi, kami akan membawa resolusi yang diperolehi kepada Perdana Menteri termasuk mengadakan Himpunan Raksasa Anak Muda Bersama Perdana Menteri," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Mohd. Shahar berkata, Aspirasi masih menanti sebarang tindakan diambil oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah terhadap ahli Solidariti Mahasiswa Malaysia (SSM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) yang menurunkan bendera tertera wajah Perdana Menteri pada minggu lepas.

"Ini merupakan hari ke-10 selepas kami serahkan memorandum kepada beliau. Sekiranya selepas hari ke-14 beliau masih tidak bertanggungjawab atau pihak SMM dan Bebas tidak memohon maaf, kami rasa Saifuddin harus letak jawatan.

"Kita akan bertemu ibu bapa, pentadbir universiti, pensyarah, mahasiswa dan semua pihak yang ada kepentingan terhadap pengajian tinggi negara serta memungut kutipan tandatangan sebanyak boleh sebagai bantahan dan memohon beliau undur diri," jelasnya. - UM

Gempar 9 kepala babi di masjid

JOHOR BAHRU, SABTU, 31 Disember, 2011: Jemaah Masjid Al-Falah, Taman Desa Jaya di sini gempar dengan penemuan sembilan kepala babi yang diletakkan di dua lokasi di masjid itu dalam tempoh 48 jam.

Pengerusinya, Kassim Darim, 62, berkata, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 5 petang semalam, empat kepala babi ditemui di pagar belakang masjid itu oleh penduduk yang melalui kawasan tersebut.

Beliau berkata, dalam kejadian kedua kira-kira pukul 5 pagi tadi, lima lagi kepala haiwan berkenaan ditemui di pekarangan luar pintu masuk masjid oleh jemaah yang ingin menunaikan solat subuh.

"Kesemua kepala babi itu dibungkus dalam beg plastik disedari oleh jemaah yang curiga dengan bau busuk bungkusan tersebut.

"Ini merupakan kejadian pertama berlaku di masjid ini. Setakat ini, kami tidak tahu motif perbuatan ini dan pihak yang bertanggungjawab melakukannya," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Berikutan itu, menurut Kassim, pihaknya membuat laporan di Balai Polis Desa Cemerlang.

"Tindakan ini amat menyinggung perasaan umat Islam dan menyentuh sensitiviti agama. Saya sangat dukacita dengan kejadian seumpama ini," ujarnya.

Susulan kejadian itu, satu perhimpunan secara aman diadakan di pekarangan masjid berkenaan selepas solat Jumaat melibatkan kira-kira 100 orang termasuk badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM), Majlis Penyelaras Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Johor (Gabung), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah (Pekida).

Sementara itu, Presiden PPPMM, Abdul Rahman Mahadi berkata, tindakan biadab dan kurang ajar itu menunjukkan masih ada segelintir pihak yang tidak sensitif terhadap masyarakat majmuk selepas beberapa siri perlakuan serupa di seluruh negara sebelum ini.

"Perbuatan ini mencabar kesucian Islam dan tidak boleh dipandang ringan pihak berkuasa. Kita minta Kementerian Dalam Negeri ambil tindakan supaya perbuatan menghina agama Islam ini tidak berterusan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat perkara tersebut secara menyeluruh.

"Pasukan khas sudahpun ditubuhkan dan kita akan cari mereka yang bertanggungjawab melakukan perkara tersebut sampai dapat. Semua pihak diharap bersabar dan jangan membuat andaian dan spekulasi serta bertindak di luar batas undang-undang," ujarnya.

Dalam Pada itu, Ahli Parlimen Tebrau, Teng Boon Soon menyifatkan perbuatan meletakkan sembilan kepala babi di masjid berkenaan sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab yang sengaja mahu menimbulkan sensitiviti agama dan perkauman.

Beliau berkata, kepimpinan tertinggi masyarakat dan agama di negeri ini sepakat mengecam tindakan tersebut yang tidak dapat diterima langsung.

"Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff juga sudah mengambil perhatian dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Kita juga akan mengatur pertemuan untuk mendapatkan penjelasan sebenar," katanya pada sesi pertemuan dengan media dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di sini hari ini. - UM

Pemuda UMNO desak Majlis Peguam nyatakan pendirian

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011: Pemuda UMNO mendesak Majlis Peguam menyatakan pendirian berhubung 'Kempen Bebaskan Anwar 901' yang mengajak orang ramai menyertai demonstrasi pada 9 Januari ini.

Naib Ketuanya, Datuk Razali Ibrahim berkata, sebagai sebuah pertubuhan yang bermaruah, Majlis Peguam tidak seharusnya berdiam diri dalam isu yang jelas mahu mencabar kewibawaan institusi kehakiman negara.

"Perancangan kempen membebaskan Anwar sudah diketahui umum, kenapa Majlis Peguam masih berdiam diri? Mereka harus jelaskan sama ada kempen itu selaras dengan undang-undang negara atau sebaliknya," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Tegas Razali, dengan berdiam diri Majlis Peguam menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab ketika negara berusaha memartabatkan institusi kehakiman.

"Tindakan Majlis Peguam boleh dilihat seperti membenarkan usaha 'penghakiman semula' Anwar dilakukan di luar sistem perundangan negara.

"Tindakan mengheret rakyat sebagai pelindung dan 'dinding' kepada Ketua Pembangkang adalah perbuatan yang langsung tidak menghormati sistem perundangan negara," katanya.

Sehubungan itu, Razali mengingatkan orang ramai khususnya generasi muda supaya tidak melibatkan diri dalam apa jua kempen pembebasan yang tidak berasas.

"Anwar sendiri tidak berusaha untuk mempertahankan diri atau menjelaskan perkara yang sebenar dalam kes liwatnya, jadi untuk apa kita mahu melindunginya," katanya.

Mengulas pembabitan generasi muda dalam kempen itu, beliau mencabar golongan itu supaya menyuarakan pendirian supaya tidak dilabel sebagai 'kuda tunggangan' Anwar.

"Generasi muda harus menolak dan menafikan segala tuduhan yang mengatakan mereka mudah diperalatkan untuk tujuan politik kerana mereka sebenarnya sudah cukup matang dalam membuat penilaian," katanya.

Perkasa selar kerajaan Pas Kedah

KUALA LUMPUR, SABTU, 31 Disember, 2011:Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyelar kedegilan Kerajaan Pas Kedah yang bertekad mahu merobohkan Madrasah Salihiah di Kanchut.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan dan dayus kerana Kedah ditadbir oleh sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan syiar Islam.

“Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila mereka (Pas) tetap berdegil mahu merobohkan rumah Allah atas nama pembangunan.

“Jika perkara seperti ini berlaku di negeri pimpinan Barisan Nasional (BN), sudah pasti ia akan dipolitikkan sekali gus pembangkang akan turut campur tangan kononnya untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang bertegas mahu merobohkan Madrasah Salihiah meskipun terdapat cadangan agar dilakukan pengubahsuaian terhadap pelan pembinaan kompleks beli belah yang bakal dibina di atas tapak itu. 


Utusan Malaysia terima Anugerah Media Cetak Paling Aktif

MAHMOOD Adam menyampaikan Anugerah Media Cetak Paling Aktif kepada wakil Utusan Malaysia,Norliza Rahman di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA, SABTU, 31 Disember, 2011: Akhbar Utusan Malaysia menerima Anugerah Media Cetak Paling Aktif menjayakan kempen Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2011 anjuran Kementerian Dalam Negeri.

TV3 pula menerima anugerah bagi kategori media elektronik paling aktif manakala Sinar FM bagi kategori stesen radio paling aktif. Bagi kategori majalah paling aktif diberikan kepada Mingguan Wanita manakala Malaysian Insider bagi blog paling aktif.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam menyampaikan anugerah tersebut kepada semua wakil media yang hadir pada majlis tersebut di sini semalam.

Wartawan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Kurniawati Kamarudin menerima anugerah wartawan paling aktif. Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula diumumkan sebagai penerima anugerah khas.

Terdahulu dalam ucapannya, Mahmood meminta semua media menyiarkan berita berkaitan anti pemerdagangan orang dan anti penyeludupan migran secara lebih kerap bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan orang ramai membantu usaha kerajaan memerangi jenayah itu.

''Sensitiviti dan kerjasama pihak media amat diperlukan dalam membanteras jenayah ini agar penjenayah dihadapkan ke muka pengadilan dan lebih ramai lagi dapat diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket,'' katanya.

RM214 juta bantu OKU Sabah 2012

KOTA KINABALU, SABTU, 31 Disember, 2011: Kerajaan memperuntukan sebanyak RM214 juta tahun depan bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dan anak yatim di Sabah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, daripada jumlah itu, Kerajaan Persekutuan memperuntukan sebanyak RM199.58 juta dan selebihnya daripada peruntukan kerajaan negeri.

Katanya, peruntukan kerajaan negeri melibatkan lima golongan iaitu orang tua, kanak-kanak, pesakit kronik atau OKU terlantar, elaun pekerja cacat dan bantuan OKU tidak berupaya.

"Bagi kerajaan negeri, ia melibatkan peruntukan Skim Bantuan Am dan Skim Bantuan Anak Yatim yang mana kedua-duanya berjumlah RM13.9 juta adalah peruntukan tambahan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

"Kerajaan tidak pernah lupa nasib golongan kurang upaya dan kebajikan mereka sentiasa diutamakan, terutama yang berada di luar bandar," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Krismas Wanita Barisan Nasional (BN) Sabah bersama rakyat di Dewan Masyarakat Menggatal, di sini hari semalam.

Pada majlis itu, sebanyak 540 orang warga tua menerima bantuan wang tunai berjumlah RM100 dan hamper. - UM

Banduan ternak lembu secara komersial

BANDUAN memberi makanan kepada lembu menerusi program merentasi lautan biru antara Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Penjara Kluang, semalam.

KLUANG, SABTU, 31 Disember, 2011: Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bekerjasama menerusi strategi lautan biru dalam mewujudkan program perintis penternakan lembu berskala besar yang diusahakan banduan secara komersial di samping memenuhi keperluan di penjara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Hassan Sakimon berkata, projek perintis itu yang bermula tahun ini merupakan program pemulihan melalui latihan sebagai persediaan supaya banduan dapat berdikari selepas hukuman tamat.

Katanya, projek itu kini dijalankan di beberapa penjara dan pusat tahanan termasuk Penjara Kluang, Johor; Penjara Pokok Sena, Kedah; Pusat Tahanan dan Perlindungan Taiping, Perak; Institut Pemulihan Dadah Jelebu, Negeri Sembilan dan Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah.

"Program ini adalah strategi lautan biru antara Jabatan Penjara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bertujuan melatih banduan dengan kemahiran baru seterusnya memenuhi keperluan makanan di penjara.

"Ia juga selaras dengan Pelan Induk Jabatan Penjara untuk menggiatkan penternakan berskala besar bagi meningkatkan pendapatan dan kemahiran penghuninya serta menjana pendapatan kepada jabatan," katanya pada majlis pengagihan induk lembu baka Zebu Myanmar di Penjara Kluang semalam.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar (Pembangunan), Datuk Dr. Ibrahim Che Embong secara rasmi menyerahkan 120 ekor lembu betina baka tersebut kepada Hassan.

Ibrahim memberitahu, menerusi program berbentuk perkongsian pintar itu, jabatan menyerahkan lembu itu secara 'pinjaman' iaitu pihak penjara dikehendaki memulangkan semula 120 ekor lembu setelah lima tahun, manakala anak-anak lembu yang dilahirkan menjadi milik penjara.

Menurut beliau, sejumlah 120 lembu betina yang diserahkan di ladang ternakan Penjara Kluang seluas 32 hektar itu dijangka mampu membiakkan 80 ekor anak lembu dalam tempoh setahun.

"Buat masa ini semua lembu betina daripada baka Zebu Myanmar itu sedang dikuarantin selama dua bulan di ladang ternakan ini sebelum lima lembu jantan dibawa masuk bagi proses pembiakan," katanya.

Ibrahim berkata, terpulang kepada pihak penjara cara untuk menjual lembu itu dan mereka berpeluang meminta lebih banyak peruntukan berdasarkan indeks petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan, keluasan ladang serta kemampuan menyediakan makanan lembu.

Sementara itu, Hassan berkata, buat masa ini 120 banduan yang berminat dipilih menjalani program itu di Penjara Kluang. - UM

Nurul Izzah calon PM?

MELAKA, SABTU, 31 Disember, 2011: Pembangkang akan menonjolkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar sebagai calon Perdana Menteri yang baru jika mereka berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Mendedahkan perkara tersebut Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, itu adalah taktik terbaru yang dirancang oleh pakatan pembangkang untuk meraih simpati rakyat.

“Perkara ini telah dipersetujui oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat dan mereka juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Perdana Menteri yang dianggotai oleh semua pemimpin tertinggi dari DAP, Pas dan PKR.

“Taktik baru ini mereka tonjolkan seolah-olah mereka sudah yakin Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bapa Nurul Izzah akan didapati bersalah dalam perbicaraan kes liwat yang akan diputuskan pada 9 Januari ini.

“Dengan mencalonkan Nurul Izzah, pembangkang yakin rakyat terutama golongan muda pasti akan simpati terhadap bapanya yang kini menghadapi kes liwat,” katanya.

Beliau ditemui Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis perjumpaan Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Tabika dan Taska Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Yayasan Melaka, semalam.

Mengulas lanjut Zulkifli berkata, pemimpin pembangkang melihat penampilan Anwar yang dikaitkan dengan kes liwat tidak memungkinkan mereka untuk meraih sokongan rakyat seterusnya memenangi pilihan raya kali ini.

“Saya diberitahu pemimpin tertinggi pembangkang tidak bersetuju untuk menyandarkan harapan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail begitu juga Timbalan Presiden, Azmin Ali,” ujarnya.

Justeru katanya, pemilihan Nurul Izzah dilihat adalah pilihan tepat untuk meraih simpati rakyat bagi memastikan pembangkang menang pada pilihan raya nanti.