My Add

Sunday 8 January 2012

100 nelayan berhimpun tageh janji kerajaan PKR

Oleh AHMAD FADZLY ESA

KUALA SELANGOR, AHAD, 08 Januari, 2012: Lebih 100 nelayan, petani dan penduduk Assam Jawa di sini mengadakan demonstrasi secara aman menuntut Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor supaya membuka laluan anak sungai atau paloh di kawasan tersebut bagi memudahkan mereka turun ke laut mencari rezeki.

Kumpulan itu turut mendesak anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengambil semula tanah yang diserahkan kepada syarikat JW Properties yang mengusahakan kolam udang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Assam Jawa, Ramli Yusufberkata, anak sungai itu telah wujud sekian lama dan dijadikan laluan para nelayan untuk ke laut.

"Namun syarikat yang mengusahakan kolam udang telah mengambil alih keseluruhan kawasan termasuk laluan anak sungai di situ. Ini menyukarkan nelayan pergi ke laut kerana pengusaha kolam udang tidak membenarkan kami melalui anak sungai itu.

"Kesan penutupan anak sungai itu mengakibatkan banjir sering berlaku yang memusnahkan tanaman terutamanya kebun sayur dan serai," katanya kepada pemberita di kawasan kolam udang Assam Jawa di sini semalam.

Ramli berkata, akibat penutupan anak sungai itu, nelayan terpaksa keluar ke laut melalui jeti Sungai Buloh yang jaraknya tujuh kilometer sekali gus menyebabkan kesukaran kepada lebih 100 nelayan terlibat.  

Sementara itu wakil nelayan Assam Jawa, Nor Azhar Jamil berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri supaya membuka semula laluan anak sungai itu.

Menurutnya, sehingga sekarang masih tiada jawapan daripada kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah nelayan di kawasan tersebut.

"Kami berharap kerajaan negeri serta Exco berkaitan mengambil tindakan sewajarnya bagi membantu menyelesaikan masalah serius ini," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment