My Add

Thursday 12 January 2012

1,000 usahawan pesara ATM

Oleh HAMDAN TAWADI

KLUANG, KHAMIS, 12 Januari, 2012: Kira-kira 125,000 bekas anggota tidak berpencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berpeluang mengikuti program peningkatan sosio ekonomi menerusi dana RM50 juta yang diperuntukkan kerajaan, bermula tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, program itu menyasarkan seramai 1,000 usahawan dalam kalangan golongan itu dapat dilahirkan setiap tahun.

“Dana yang diberikan akan digunakan untuk memberi kursus dan pendedahan keusahawanan berdasarkan minat dan kemahiran peserta program.

“Menerusi pangkalan data yang diperoleh daripada kajian yang dilakukan, kita dapati tidak ramai dalam kalangan bekas tentera tidak berpencen mahu menyertai bidang pekerjaan lain, sebaliknya lebih berminat menjadi usahawan,” katanya selepas menyertai Sesi Dialog Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ATM bersama pegawai dan anggota tentera di Kem Mahkota, Kluang di sini hari ini.

Abdul Latiff berkata, penyediaan dana itu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu dan menghargai jasa golongan tersebut tetapi pada masa sama menyedari sasaran yang ditetapkan merupakan satu cabaran kepada kementeriannya.

“Kementerian bertanggungjawab memastikan dana ini dibelanjakan sebaiknya dan tentunya prestasi akan dinilai berdasarkan hasil iaitu sasaran usahawan yang dihasilkan berjaya dicapai.

“Bukan semua orang boleh menjadi usahawan. Oleh sebab itu, kita sedang memantapkan pangkalan data tentang kajian minat, kemahiran dan kesesuaian bidang usahawan bekas tentera tidak berpencen bagi memastikan kejayaan program itu,” katanya.

Menurutnya, satu makmal khas dianggotai pelbagai agensi pembangunan usahawan, pakar akademik dan institusi kewangan telah diwujudkan bagi merangka modul latihan bersesuaian untuk program itu.

Sementara itu, beliau berkata, kenaikan pencen sebanyak lapan peratus yang bakal dinikmati pesara tentera bermula bulan depan adalah penghargaan kerajaan kepada golongan tersebut dan menepati keperluan peredaran zaman yang menuntut kos sara hidup lebih tinggi.

Menerusi SBPA, pesara tentera yang memperoleh pencen minimum RM720, bakal menikmati pencen RM777.60. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment