My Add

Monday 16 January 2012

104,120 terima RM500 sebelum Tahun Baru Cina

SEBAHAGIAN penerima BR1M gembira setelah menerima baucar RM500 daripada Noh Omar (kiri) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Tee, Pasir Penambang, Kuala Selangor, semalam. - BERNAMA

KUALA SELANGOR, ISNIN, 16 Januari, 2012: Lebih RM52 juta diagih-agihkan secara berperingkat kepada 104,120 penerima program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di negeri ini bermula hari ini.

Pengagihan wang sebanyak RM500 kepada setiap penerima itu akan diselesaikan sebelum Tahun Baru Cina yang disambut Isnin depan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, kesemua 104,120 penerima itu merupakan pemohon BR1M fasa pertama yang diluluskan di negeri ini.

Beliau berkata, lebih 200,000 pemohon lagi di negeri ini dijangka menerima wang tersebut untuk fasa seterusnya selepas sambutan Tahun Baru Cina jika permohonan mereka diluluskan.

''Di Selangor secara keseluruhannya, kita menerima 352,810 permohonan untuk program BR1M dan 104,120 permohonan diluluskan. Kita agihkan sebelum Tahun Baru Cina bagi meringankan beban mereka terutama kaum Cina yang menyambut perayaan itu.

''Baki lebih 200,000 lagi permohonan sedang diproses dan mereka akan menerima RM500 itu selepas sambutan Tahun Baru Cina yang tarikhnya masih belum ditentukan," katanya.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran BR1M Peringkat Selangor di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Khai Tee di Pasir Penambang di sini semalam.

Pada majlis itu yang dihadiri beberapa pemimpin BN negeri, sebanyak 250 daripada 8,000 permohonan diluluskan di Parlimen Tanjong Karang menerima wang bantuan RM500 secara tunai.

Dalam pada itu, kata Noh, pemohon di negeri ini yang permohonan BR1M mereka ditolak melalui surat boleh membuat rayuan semula dengan mendapatkan borang di pusat khidmat wakil rakyat BN di seluruh Selangor. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment