My Add

Wednesday 18 January 2012

140 kedai runcit sertai program Tukar

 
ISMAIL Sabri Yaakob melihat produk 1Malaysia yang dijual di Koperasi Coop 1Malaysia di Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Januari, 2012: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mensasarkan sebanyak 140 kedai runcit milik koperasi menyertai program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) tahun ini.

M Yaakob berkata, sasaran itu ditetapkan berikutan kejayaan kementerian menukar sebanyak 126 kedai runcit milik koperasi tahun lalu berbanding sasaran ditetapkan iaitu 100 kedai.

Katanya, kedai runcit milik koperasi merupakan nadi bagi penduduk luar bandar mendapatkan produk pada harga rendah.

"Jadi, kita harap seiring dengan peningkatan tahun lalu, koperasi akan terus membantu kerajaan dalam menjayakan usaha memerangi peningkatan kos sara hidup yang membebani masyarakat.

"Kerajaan tetap komited untuk meneruskan program-program yang mampu meringankan beban rakyat dalam mengharungi peningkatan kos sara hidup rentetan daripada krisis ekonomi global biarpun menerima pelbagai tohmahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemborong dan Peruncitan Koperasi di sini semalam.

Seminar selama tiga hari bermula 16 Januari itu bertujuan memberi pendedahan kepada pengurusan koperasi mengenai selok-belok perniagaan berbentuk borong dan runcit.

Tambah Ismail Sabri, jumlah keseluruhan kedai runcit yang telah mengikuti program Tukar tahun lalu adalah sebanyak 519 kedai dan angka itu melepasi sasaran 500 kedai yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan amat menggalakkan sebarang usaha daripada mana-mana pihak bagi membantu memberi manfaat dan mengurangkan beban hidup rakyat.

"Bantuan dalam bentuk kewangan, khidmat teknikal, kemudahan infrastruktur, bimbingan dan latihan akan kita pertimbangkan kepada mana-mana pihak yang komited," ujarnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri menyarankan agar Suruhanjaya Koperasi Malaysia menubuhkan satu unit pemantauan kualiti bagi memantau dan menjamin kualiti produk yang dikeluarkan Coop 1Malaysia (Coop1M).

"Langkah itu penting agar kualiti produk sentiasa berada di tahap terbaik dan tidak menimbulkan rungutan masyarakat.

"Selain itu, setiap barangan yang dikeluarkan juga perlu memenuhi syarat persijilan dan piawaian pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan bagi produk makanan," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment