My Add

Saturday 14 January 2012

14,000 pelajar terjejas akibat AirAsia X henti laluan London

LONDON, JUMAAT, 13 Januari, 2012: Keputusan AirAsia X untuk menghentikan laluan Kuala Lumpur-Londonnya mulai 30 Mac dijangka memberi kesan kepada lebih 14,000 pelajar Malaysia yang meneruskan pengajian mereka di United Kingdom (UK).

Sejak memulakan laluan itu pada bulan Mac 2009, syarikat penerbangan jarak jauh tambang rendah ini telah menjadi pilihan ramai kepada mereka yang mahu kembali ke tanah air dari UK memandangkan tambangnya yang amat berpatutan dan disertai dengan perkhidmatan yang baik.

Pengerusi United Kingdom dan Majlis Eire Pelajar-pelajar Malaysia, Ahmad Syawal Hafriz Abdullah berkata, pemberhentian ke atas laluan ini akan menyebabkan para pelajar mempunyai pilihan penerbangan yang sedikit.


"Kebanyakan kami memang tidak sabar-sabar untuk menyertai keluarga dan mereka yang tercinta terutamanya pada musim-musim perayaan,” kata beliau kepada Bernama.

Pelajar tahun dua di London School of Economics berkata, beliau berharap AirAsia X akan menarik balik penggantungan ini dan menyambung semula penerbangannya ke London secepat mungkin.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di sini, Datuk Zakaria Sulong berkata, ketibaan rakyat Malaysia telah meningkat ekoran pengenalan AirAsia X ke UK.

"Ini termasuklah pelajar Malaysia di UK yang mahu pulang ke tanah air. Tiada alternatif penerbangan tambang rendah dari Kuala Lumpur. Pergerakan antara kedua-dua negara akan terjejas oleh penutupan ini,” kata beliau.

Selain London, AirAsia X turut mengumumkan pada hari Khamis yang ia akan menggantungkan penerbangan ke Paris pada 31 Mac dan Mumbai dan New Delhi pada 31 Januari.

Menurut AirAsia X, sebab di sebalik penggantungan ini ialah kerana pelaksanaan skim perdagangan emisi dan duti penumpang udara di UK, yang semakin meningkat di United Kingdom dan akan dinaikkan sekali lagi pada April.

Sebab lain ialah kebimbangan terhadap peruntukan dan dipengaruhi pula oleh situasi tidak menentu ekonomi global dan harga bahan bakar jet yang melambung meskipun AirAsia X mencatatkan faktor beban melebihi 80 peratus untuk penerbangan London dan Parisnya pada tahun 2011. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment