My Add

Sunday 22 January 2012

15,000 meriahkan program Ihsan Samudera

KUANTAN, AHAD, 22 Januari, 2012: Kira-kira 15,000 pengunjung hadir memeriahkan pelancaran program Ihsan Samudera anjuran Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerjasama Yayasan Felda di Tanjung Lumpur di sini, semalam.

Program yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bertujuan mengurangkan jurang pendapatan nelayan yang masih berada di bawah paras kemiskinan.

Antara yang hadir memeriahkan majlis ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengarah Program Ihsan Samudera, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena majlis pelancaran itu merangkumi aspek pendidikan, kebajikan, kesihatan, kebudayaan dan khidmat komuniti dengan melibatkan semua pihak seperti sektor kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan sukarelawan.

Selain gerai pameran pelbagai agensi kerajaan, pengunjung yang hadir berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan secara percuma termasuk pemberian cermin mata.

Sementara itu, pada majlis pelancaran program berkenaan, Najib turut menyampaikan sumbangan khusus kepada golongan nelayan negeri Pahang seperti sumbangan kotak makanan kepada 3,000 keluarga nelayan, bantuan persekolahan berjumlah RM100 dan peralatan persekolahan kepada 3,000 murid sekolah rendah.

Malah seramai 200 murid yang berkelayakan turut menerima sumbangan sebuah basikal setiap seorang.

Pada majlis tersebut juga, Najib menyerahkan jaket keselamatan kepada 1,200 nelayan yang berkelayakan, kawat bubu (600 orang), pukat (600 orang), bot (60 orang), enjin bot (60 orang) dan sistem penentuan kedudukan global (GPS) kepada 450 nelayan.

Dalam pada itu, melalui program Ihsan Samudera itu juga sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan setiap Persatuan Nelayan Kawasan (PNK). - MM


No comments:

Post a Comment