My Add

Tuesday 17 January 2012

256 kakitangan KDN terima anugerah cemerlang

ABU Seman Yusop menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang 2011 di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA, SELASA, 17 Januari, 2012: Seramai 256 pegawai dan kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) pelbagai peringkat jawatan dan jabatan telah terpilih menerima Anugerah Khidmat Cemerlang KDN 2011.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, anugerah tersebut berdasarkan prestasi cemerlang pegawai terbabit sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata, penerima anugerah berpeluang cerah untuk memajukan kerjaya dengan menghadiri kursus, seminar atau persidangan yang boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi kerja.

"Jumlah penerima anugerah kali ini sekitar 8 peratus daripada jumlah keseluruhan pegawai dan kakitangan di bawah kementerian, jumlah ini agak kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan warga KDN.

"Bagaimanapun saya yakin, pegawai dan kakitangan lain akan terus bekerja keras bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada kementerian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis Penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang KDN 2011 di sini, semalam.

Menurut Abu Seman, pengiktirafan tersebut mungkin akan dijadikan satu kriteria untuk penerima anugerah menjawat jawatan dan memikul tanggungjawab yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Abu Seman menyeru agar pegawai dan kakitangan kementerian agar tidak berada dalam zon selesa yang hanya akan melemahkan produktiviti dan seterusnya membantut pembangunan sesebuah organisasi.

"Saya tahu kita semua sibuk dalam tugas hakiki, tetapi janganlah ia menjadi alasan untuk menumpukan kepada tugas tanpa mengambil bahagian dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan sebagainya,

"Anda bukanlah pegawai serba boleh jika hanya gagah di pejabat tempat bekerja, namun tidak mengambil tahu kegiatan dunia luar," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment