My Add

Monday 9 January 2012

28 produk IKS ke China

NOH Omar dan Jamal Md. Yunos (kanan) menunjukkan isyarat bagus terhadap produk IKS pada perasmian My Agro Hypermart di Serdang, semalam.



KUALA LUMPUR, ISNIN, 09  Januari, 2012: Sebanyak 28 produk usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan bernilai RM15 juta akan menembusi pasaran China bulan ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kesemua produk di bawah jenama 1Malaysia Best yang terdiri daripada makanan ringan dan sejuk beku itu merupakan sebahagian daripada lebih 2,000 produk yang terdapat di My Agro Hypermart, Taman Pameran Pertanian Serdang (MAEPS) dekat Serdang.

Katanya, syarikat China itu amat berpuas hati dengan kualiti, pembungkusan dan penjenamaan produk IKS negara yang memenuhi syarat yang ditetapkan negara berkenaan.

''Kita bercadang untuk meningkatkan lagi jumlah produk IKS dari My Agro Hypermart untuk dieksport ke luar negara selepas ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan My Agro Hypermart dekat sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Raihan Sharif; Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman dan Pengarah Urusan Rukun Saksama Sdn. Bhd., Datuk Jamal Md. Yunos.

My Agro Hypermart merupakan kerjasama antara kementerian dengan Rukun Saksama dalam mengumpul dan memasarkan produk IKS ke peringkat tertinggi.

Noh dalam pada itu berkata, matlamat utama kementerian menubuhkan My Agro Hypermart adalah bagi mengumpulkan produk-produk IKS yang sebelum ini 'berselerak' di bawah satu bumbung.

Pada masa sama, katanya, pasar raya itu juga akan menjadi pusat sehenti kepada produk IKS dalam usaha memberi kemudahan kepada syarikat luar negara yang ingin membeli barangan tempatan dengan menggunakan jenama 1Malaysia Best.

"Justeru, kita menyasarkan 13,000 produk IKS dapat dikumpulkan melalui My Agro Hypermart," katanya.

"Saya yakin My Agro Hypermart akan setanding dengan pasar raya antarabangsa, sekali gus menjadi kebanggaan kita," katanya.

Sementara itu, Noh berkata, usahawan yang ingin membuka pasar raya seumpama itu boleh menggunakan bangunan kementerian di seluruh negara sekiranya ia didapati sesuai bagi tujuan berkenaan.

''Kita bersedia bekerjasama dan memberi nasihat sekiranya ada usahawan yang tampil untuk membuka pasar raya itu, namun kita tidak akan membantu dari segi modal dan geran," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment