My Add

Tuesday 10 January 2012

3 beranak huni 'bangsal kambing'

ABDUL Azeez Abdul Rahim (kanan) bersalaman dengan Abdullah Hassan sambil diperhatikan Hafiza Ridzuan di hadapan rumah mereka di Kampung Baru Surau Mukim Bakai, Baling, semalam.


Oleh AZMAN MD. NOOR

BALING, SELASA, 10  Januari, 2012: Sebuah keluarga tiga beranak terpaksa melalui keperitan hidup apabila tinggal di sebuah pondok usang umpama bangsal kambing di Kampung Baru Surau Mukim Bakai di sini.

Abdullah Hassan, 39, bersama isteri, Hafiza Ridzuan, 41, dan anak tunggal, Mohd. Akmal, 15, tinggal di bangsal itu sejak tiga tahun lalu tanpa kemudahan air dan elektrik kerana dihimpit kemiskinan.

Hafiza berkata, mereka tidak mampu membina rumah atau menyewa rumah kerana pendapatan suaminya yang bekerja di sebuah kilang di Perai, Pulau Pinang tidak mencukupi.

"Gaji bulanan hanya mencukupi untuk keperluan dapur dan keperluan sekolah selain digunakan untuk ubat serta kos rawatan kencing manis dan darah tinggi yang saya hidapi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Hafiza memberitahu, disebabkan penyakitnya itu juga dia tidak dapat membantu suaminya meringankan beban menyara keluarga dan mendapatkan rumah yang lebih selesa.

Namun, dia bersyukur kerana anaknya dibantu Kementerian Pelajaran apabila dipilih untuk tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Bakai (SMKB).

Katanya, semasa tinggal di rumah itu, anaknya sering merungut kerana belajar dalam keadaan tidak selesa dan tidak terurus sedangkan dia berpotensi untuk berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran.

Justeru, Hafiza merayu orang ramai yang prihatin agar menyumbang apa-apa bantuan yang boleh meringankan penderitaan keluarga berkenaan.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau sedih dengan nasib yang menimpa keluarga berkenaan yang masih tinggal dalam rumah buluh berlantaikan tanah.

Katanya, pihaknya telah meluluskan sebuah rumah baru dengan peruntukkan sebanyak RM16,000 bagi membolehkan keluarga itu hidup lebih selesa.

Beliau berkata, memandangkan keseluruhan struktur rumah berkenaan sudah reput dan tidak layak mereka sekeluarga tinggal di pondok itu.

"Saya akan menyegerakan membina sebuah rumah baru supaya keluarga itu hidup lebih selesa dengan kemudahan elektrik dan bekalan air bersih," katanya. 

No comments:

Post a Comment