My Add

Thursday 19 January 2012

30,000 warga Jerlun dapat BR1M

MUKHRIZ Mahathir (kiri) menyampaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada Zaharah Mat Hassan (dua dari kanan) di Kubang Pasu, kelmarin.

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

KUBANG PASU, KHAMIS, 19 Januari, 2012: Kira-kira 30,000 penduduk pelbagai kaum di Parlimen Jerlun akan menerima RM500 seorang menerusi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diperkenalkan kerajaan bagi meringankan beban rakyat.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pengagihan bantuan keseluruhan bernilai kira-kira RM15 juta itu diadakan secara berperingkat dalam 10 sesi bermula semalam membabitkan kumpulan pertama yang layak iaitu seramai 2,132 penerima.

Katanya, jumlah penerima di Parlimen itu agak ramai berikutan kebanyakan penduduknya tidak mempunyai pendapatan tinggi dan mereka yang layak perlu bersabar menunggu giliran masing-masing.

“Ekoran jumlah yang ramai itu, sudah tentu proses pengagihan memakan masa. Mereka yang layak sudah dimaklumkan tarikh penukaran baucar bayaran.

“Bagi permohonan ditolak atas sebab-sebab tertentu, mereka boleh membuat rayuan semula kerana tempoh permohonan telah dilanjutkan,” katanya selepas menyampaikan BR1M kepada 2,132 penerima di Dewan Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu di sini semalam.

Mukhriz berkata, program BR1M merupakan manifestasi sebuah kerajaan yang benar-benar mementingkan kebajikan rakyat dalam setiap keputusan dan tindakan yang diambil.

Katanya, apa yang dilakukan itu tidak sekadar retorik dengan melontarkan pelbagai janji yang tidak dikotakan.

“Ini adalah sebuah kerajaan yang tidak mungkir janji,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih atas segala bantuan yang diberikan kerajaan dalam memaju serta memastikan kesejahteraan hidup mereka.

Katanya, jika rakyat tidak mahu membalas budi yang diberikan itu, mereka sekurang-kurangnya boleh mengucapkan terima kasih atau bersikap mengenang budi sudah mencukupi. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment