My Add

Monday 23 January 2012

35 nelayan terima RM52,200


Oleh ZULHISHAM ISAHAK

MU AR, AHAD, 23 Januari, 2012: Seramai 35 nelayan Parit Jawa di sini menerima wang tunai RM52,200 sebagai sagu hati setelah pukat dan bot mereka rosak akibat kerja-kerja penambakan tanah semasa pembinaan jeti nelayan di Parit Jawa kira-kira dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim berkata, setiap seorang menerima RM1,500 dan saguhati itu diberikan selepas berbincang dengan Majlis Perbandaran Muar (MPM) dan Persatuan Nelayan Daerah Muar.

"Bukan nilai yang utama tetapi isu ini mendapat pembelaan MPM setelah berbincang hampir dua tahun untuk mencari penyelesaian dan pemberian saguhati ini adalah jalan yang terbaik.

"Kerugian yang dialami nelayan juga adalah berbeza-beza mengikut tahap kerosakan bot masing-masing," katanya pada majlis penyerahan wang itu di Persatuan Nelayan Pantai Parit Jawa, di sini semalam.

Sebelum ini, 35 nelayan tersebut menuntut ganti rugi kerana jaring dan kipas bot mereka rosak akibat terkena batang pokok sawit yang dijadikan benteng sementara semasa pembinaan jeti tersebut.

Kerosakan peralatan nelayan itu berlaku setelah batang-batang sawit berkenaan dibiarkan terapung begitu saja oleh kontraktor terbabit.

Dalam pada itu, Razali berkata, kira-kira 900 ahli persatuan nelayan di sini boleh memohon bantuan untuk membaiki atau membina semula rumah mereka yang rosak di bawah projek perumahan khas nelayan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, seramai 450 ahli persatuan itu adalah dari Parit Jawa dan mereka diminta memohon bantuan tersebut kerana kerajaan memperuntukkan RM300 juta untuk projek perumahan berkenaan.

Pada majlis tersebut, Razali turut memberikan sumbangan RM5,000 kepada Persatuan Nelayan Parit Jawa kerana aktif dalam menjalankan aktivitinya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Lim Choon Chiang, 43, berkata, bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan bebannya walaupun mengalami kerugian akibat kerosakan bot hampir RM5,000.

Bapa kepada empat anak yang berasal dari Parit Jawa itu berkata, wang saguhati tersebut juga akan digunakan untuk membeli kelengkapan dan persiapan sempena Tahun Baru Cina ini.

Penerima lain, Zulferi Hamidan, 47, dari Taman Bintang berkata, kerugiannya juga adalah sama iaitu hampir RM5,000.

"Kerosakan yang dialami membuatkan saya tidak dapat turun ke laut selama 10 hari," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment