My Add

Sunday 22 January 2012

416 kes penguatkuasaan pemerdagangan orang direkod

PUTRAJAYA, AHAD, 22 Januari, 2012: Statistik kes penguatkuasaan bagi pemerdagangan orang dari 2008 sehingga tahun lepas menyaksikan sebanyak 416 jumlah kes direkodkan.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam berkata, daripada jumlah kes tersebut sebanyak 591 tangkapan telah dibuat.

"Bagi statistik kes-kes pendakwaan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 direkodkan sebanyak 383 kes yang telah dituduh, 243 kes sedang di peringkat bicara, 59 kes selesai dan 60 sabitan kes.

"Statistik mangsa yang telah diselamatkan dan mendapat perintah perlindungan tetap (PO) sehingga 31 Disember 2011 pula merekodkan sebanyak 261 adalah lelaki, 545 wanita dan 118 kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan di sini, semaLAM.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat pertama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) bagi tahun ini yang diadakan di Pulai Spring Resort Johor.

Sementara itu, beliau berkata, antara keputusan penting mesyuarat tersebut adalah untuk menjemput pihak Jabatan Audit Negara melaksanakan pengauditan ke atas aktiviti MAPO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

"Mesyuarat juga bersetuju untuk menandatangani persefahaman bersama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serta rakan-rakan strategik antarabangsa bagi meneruskan komitmen memerangi jenayah ini," katanya. - MM

No comments:

Post a Comment