My Add

Saturday 21 January 2012

4,440 pemain, 444 pasukan gegar Putrajaya

PUTRAJAYA, SABTU, 21 Januari, 2012: Kejohanan Futsal 1Malaysia Kebangsaan 2012 kembali menggegarkan Putrajaya dengan penyertaan 444 pasukan lelaki dan wanita mewakili 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Kejohanan futsal itu adalah kesinambungan daripada Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia Kebangsaan yang dianjurkan pada 2010 dan telah berjaya menarik 4,430 peserta dengan 443 pasukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu dapat memberi peluang dan ruang kepada pemain dari seluruh negara mempamerkan bakat selain bertanding ke peringkat lebih tinggi.

"Sebanyak 4,440 peserta dengan 444 pasukan lelaki dan wanita akan menyertai kejohanan ini dengan menampilkan aksi berwibawa selain membuktikan kehebatan pasukan masing-masing di gelanggang futsal.

"Kesemua peserta merupakan pasukan yang menjuarai Kejohanan Futsal 1Malaysia Peringkat Parlimen yang diadakan tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas melakukan sepak mula sebagai simbolik merasmikan kejohanan tersebut di sini, semalam.

Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu akan dilangsungkan selama tiga hari bermula hari ini mendapat kerjasama rakan penganjur seperti minuman isotonik Revive, Nestle, Muniff Hijjaz, Mizi Sports, Celcom Axiata Berhad, Gardenia dan juga Adabi.

Sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu lelaki 15 tahun ke atas dan wanita 16 tahun ke atas.

Menurut Razali, kejohanan kali ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM68,000 dan piala pusingan serta pingat.

"Juara kategori lelaki akan membawa pulang wang tunai RM20,000 manakala wanita akan menerima RM10,000," katanya.

Selain itu, kata beliau, persatuan sukan peringkat negeri perlu menggunakan peluang semasa kejohanan berlangsung untuk mempelajari teknik penganjuran kejohanan yang betul agar ia dapat dianjurkan di negeri masing-masing.

"Guna peluang ini sebaik-baiknya, pasukan yang datang perlu melihat segala yang ada di sini termasuk cara penganjuran dan format pertandingan. Jika boleh bawalah ke kawasan masing-masing untuk digunakan semasa penganjuran peringkat Parlimen kelak," katanya. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment