My Add

Friday 20 January 2012

67 peratus kes bankrap selesai

Oleh HASHNAN ABDULLAH

PUTRAJAYA, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Jumlah penyelesaian kes bankrap tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 67 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, pada tahun lalu, kes bankrap yang berjaya diselesaikan adalah sebanyak 10,680 kes berbanding 2010 yang mencatat sebanyak 6,396 kes sahaja.

Katanya, budaya kerja baru di Jabatan Insolvensi Malaysia yang menekankan pendekatan pemudah cara dan pendidikan kepada pihak yang terlibat membantu mempercepatkan penyelesaian kes.

‘‘Kita percaya sekiranya mereka yang bankrap hadir dan memberikan kerjasama, lebih ramai berpeluang keluar daripada senarai kebankrapan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Mohamed Nazri berkata, antara inisiatif pendekatan pemudah cara dan pendidikan adalah mengadakan sesi forum perundingan, dialog dan program outreach seperti lawatan ke rumah dan laman web MdI2u.

Selain itu, beliau menambah, promosi melalui media elektronik dan cetak mengenai peranan jabatan itu turut membantu meningkatkan kesedaran orang ramai.

‘‘Kehadiran mereka yang bankrap ke jabatan pada tahun lalu seramai 29,180 berbanding 26,337 orang iaitu meningkat sebanyak 22.1 peratus.

‘‘Bagaimanapun, jumlah itu amat kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan kes iaitu hanya 12.3 peratus sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jabatan itu telah menerima sebanyak 19,167 kes kebankrapan baru yang didaftarkan pada tahun lalu berbanding 18,119 kes tahun sebelum iaitu meningkat 5.78 peratus.

‘‘Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes kebankrapan yang aktif dan masih aktif sehingga hujung tahun lalu adalah 237,856 kes,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment