My Add

Wednesday 18 January 2012

68,220 penerima BR1M di Wilayah Persekutuan

SYED Abdul Rahman Alhabshi (dua dari kiri), A. Chandrakumanan (empat dari kanan) danPenyelaras Barisan Nasional Bandar Tun Razak, Shaharudin Zainal Abidin (kanan) bersama penerima BR1M di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUALA LUMPUR, RABU, 18 Januari, 2012: Seramai 68,220 warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang layak bakal menerima wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mula diagihkan mulai kelmarin.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, bagi kumpulan pertama, seramai 41,000 akan menerima bantuan tersebut yang akan diagihkan secara berperingkat.

Beliau juga meminta agar mereka yang sudah memohon tetapi belum mendapat tawaran agar bersabar kerana mereka yang layak akan diberikan bantuan itu pada fasa kedua yang akan diserahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi pada 20 Januari ini.

"Saya juga berharap supaya warga Wilayah Persekutuan yang layak supaya mengambil peluang yang diberikan oleh kerajaan yang telah melanjutkan pendaftaran BR1M sehingga 10 Februari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan BR1M kepada 482 penerima di PPR Pantai Ria di sini kelmarin.

Raja Nong Chik berkata, selain PPR tersebut, program yang sama turut diadakan di PPR Seri Pantai dan Taman Tenaga, Bandar Tun Razak pada hari yang sama.

Sementara itu, kira-kira 500 penduduk di Bandar Tun Razak menerima baucar BR1M menerusi agihan fasa pertama yang diadakan di pejabat Barisan Nasional Bandar Tun Razak di sini.

Hadir pada majlis itu ialah Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bandar Tun Razak, Datuk A. Chandrakumanan dan Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshi.

Seorang penerima bantuan, Ramnah Talib, 43, berkata, wang itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah anaknya yang masih belum mencukupi.

"Bantuan ini meringankan beban kami sekeluarga dan diharap orang ramai akan terus menyokong kerajaan yang banyak membantu rakyat," katanya.

Tan Ken Lee, 58, pula berkata, bantuan yang diterima akan digunakan untuk membuat persiapan menyambut Tahun Baru Cina.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan wang ini dan ia akan digunakan untuk melengkapkan keperluan keluarga saya.

Seorang lagi penerima, Chong Kim Moi, 56, berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi bantuan tersebut.

"Saya mempunyai enam orang anak dan sumbangan ini amat dialu-alukan kerana dapat meringankan beban saya khususnya untuk perbelanjaan harian," katanya.- UTUSAN





No comments:

Post a Comment