My Add

Sunday 8 January 2012

901: Ahli PAS diarah patuhi persetujuan polis, PKR

Harakahdaily 
KUALA LUMPUR, AHAD, 08 Januari, 2012: Pas mengarahkan ahli dan penyokong agar mematuhi segala perjanjian yang telah dipersetujui bersama antara pihak penganjur dan polis ketika menyertai perhimpunan 901, Isnin ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, mereka perlu mematuhi semua arahan itu untuk mempastikan perhimpunan itu berjalan dengan lancar.
 Mustafa Ali

"Saya meminta semua ahli dan penyokong Pas yang menyertai perhimpunan agar mematuhi segala persetujuan yang telah dicapai antara Azmin (Ali) dengan polis semalam," katanya kepada Harakahdaily.

Azmin, Timbalan Presiden PKR, menemui polis semalam bagi membincangkan permohonan pihaknya untuk mengadakan perhimpunan bagi memberikan sokongan moral kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.

Mahkamah dijangka akan menjatuhkan hukuman kepada Anwar esok dalam pertuduhan liwat ke atas bekas pembantunya, Saiful Bukhari.

Pihak polis telah menyatakan persetujuan untuk memberikan kebenaran mengadakan perhimpunan tersebut berdasarkan akta perhimpunan awam yang baru diluluskan Parlimen.

Polis membenarkan peserta perhimpunan berhimpun di tempat letak kereta Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta.

Polis telah menetap syarat untuk mempastikan perhimpunan itu berjalan termasuk perhimpunan hanya boleh dibuat di padang kereta itu sahaja.

Jika padang itu sudah penuh, mereka yang selebihnya hendaklah bersurai dari kawasan mahkamah.

Mereka juga dikehendaki jangan sesekali mengganggu persidangan mahkamah dan hendaklah bersurai sejam selepas mahkamah membuat keputusan.

Azmin dalam sidang mediannya berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa usul yang mana ia diadakan secara aman di kawasan tempat letak kereta di hadapan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

"Dalam usaha memastikan segalanya teratur, pihak penganjur (PKR) telah menyediakan 500 orang marshal pada hari tersebut yang lengkap beruniform dan dilatih untuk mengawal perhimpunan demi menjamin kelicinan perjalanan perhimpunan," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Azmin juga menyatakan perhimpunan itu akan bermula seawal jam 7 pagi dan orang ramai boleh meletakkan kenderaan mereka di tempat-tempat letak kereta di kawasan lapang berhampiran Bangunan Matrade.

"Oleh kerana ini perhimpunan aman yang dibantu oleh pihak polis, tidak akan ada sebarang sekatan jalan raya yang akan menghuru-harakan keadaan dan tujuan menyekat orang ramai dari hadir, malah polis bersetuju menjaga traffik bagi mengelakkan berlakunya kesesakan lalulintas," tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment