My Add

Wednesday 11 January 2012

901: NGO puji tindakan polis sebagai bijak

KUALA LUMPUR, RABU, 11 Januari, 2012: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini memuji tindakan bijak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya mengawal dengan baik perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 semalam.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, kebijaksanaan pasukan polis harus dipuji walaupun berhadapan dengan tekanan dan kekecohan yang ditimbulkan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Polis ada cara tersendiri untuk menjalankan tugas hakiki yang diamanahkan dan ini terbukti apabila mereka berjaya mengawal keadaan perhimpunan itu.

"Tindakan itu juga membuktikan pasukan keselamatan mampu menyelesaikan masalah yang melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman awam dengan bijaksana," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau diminta mengulas kecekapan PDRM dalam mengawal perhimpunan oleh penyokong Anwar di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta semalam.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George memberitahu, sikap profesionalisme yang ditunjukkan polis berjaya mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Tahniah saya ucapkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta semua pegawai dan anggota polis yang bertugas semalam kerana menjalankan tanggungjawab dan tugas dengan baik.

"Disiplin polis dalam mengawal perhimpunan itu merupakan perkembangan positif yang harus dibanggakan dan saya juga perhatikan bahawa terdapat pegawai tertinggi PDRM yang turut serta bersama anggotanya menjalankan tugas pemantauan," ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kecekapan dan keikhlasan pasukan polis mengawal situasi perhimpunan itu demi keselamatan negara.

"Saya turut mendapat maklumat bahawa ramai anggota keselamatan tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu kerana membuat persiapan di tempat perhimpunan agar keselamatan negara terjamin," katanya.

Tambah Irmohizam, beliau juga ingin merakamkan penghargaan kepada generasi muda di sekitar Lembah Klang khususnya mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) kerana tidak melibatkan diri dengan perhimpunan tersebut.

"Ini menunjukkan mereka (mahasiswa) sudah muak dengan suasana dan pendekatan politik kaki lima berlandaskan demonstrasi jalanan. Mereka juga mengakui demonstrasi itu adalah sia-sia kerana ia berkaitan masalah individu dan bukannya ke arah memartabatkan kedaulatan undang-undang dan Rukun Negara," jelasnya - UTUSAN

No comments:

Post a Comment