My Add

Friday 20 January 2012

Agama: Parti tiada calon layak?

PUTRAJAYA, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Pas diminta menjelaskan kepada umum apakah parti itu sudah tidak memiliki calon yang layak untuk memegang portfolio Hal Ehwal Agama Islam sehingga jawatan itu terpaksa dipikul oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Setiausaha Gabungan NGO Malaysia, Mohd. Jurit Ramli turut mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin-pemimpin Pas kerana tidak mempertahankan portfolio itu, sebaliknya merelakan ia ‘dirampas’ Parti Keadilan Rakyat (PKR).

‘‘Mana pergi suara-suara lantang dalam Pas, kenapa mereka tidak pertahankan portfolio agama yang seharusnya disandang oleh Pas, atau sudah tiada calon di Selangor layak pegang jawatan itu?” soalnya.

Mohd. Jurit berkata demikian sebagai mengulas rombakan kecil pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang menyaksikan Pas kehilangan portfolio Hal Ehwal Agama yang sebelum ini disandang oleh parti itu.

Mohd. Jurit berkata, perkembangan itu amat mengejutkan, memalukan dan mengecewakan kerana Pas selalunya dilihat sebagai juara dalam isu-isu berkaitan Islam.

‘‘Selalunya Pas akan ke depan tetapi apabila Exco tidak dilantik daripada calon parti itu mereka diam, situasi ini amat-amat mengejutkan dan rakyat semakin keliru dengan dasar perjuangan parti ini,” katanya.

Menurutnya, agak menghairankan apabila pemimpin Pas lebih sanggup membiarkan portfolio agama diambil alih PKR kerana tidak mahu kehilangan kuasa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment