My Add

Monday 23 January 2012

Air bersih terjejas akibat pembalakan

BALING, ISNIN, 23 Januari, 2012: Lebih 2,000 penduduk di Mukim Siong di sini yang menggunakan bekalan air masyarakat, mulai dibelenggu oleh masalah air tidak bersih akibat kesan pembalakan.

Penduduk yang terlibat mendakwa, bekalan air yang disalurkan ke kediaman mereka dahulu jernih dan tidak berkeladak, tetapi sejak kebelakangan ini bertukar menjadi kuning.

Bekas Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Weng, Ibrahim Ahmad, 63, mendakwa, sejak beberapa bulan lalu, air bertukar warna dipercayai akibat kesan daripada pembalakan di sekitar kampung berkenaan.

Katanya, kawasan hutan di sekitar beberapa kampung di situ telah ditebang dan bukit digondol dengan rakus oleh pihak tertentu untuk mendapatkan hasil balak.

"Dahulu memang kami memperoleh bekalan air bersih dan jernih, namun sejak kebelakangan ini telah bertukar warna kekuningan

"Bayangkan air yang hendak diminum, dimasak dan untuk kegunaan air sembahyang tidak lagi sesuai untuk digunakan kerana sering kotor dan berselut," katanya di sini hari ini.

Seorang suri rumah, Basherah Wahab, 56, pula berkata, bekalan air masyarakat yang diterima mereka semakin teruk akibat dipenuhi selut.

Malah, katanya, masalah itu menjadi lebih buruk apabila hujan dan berharap pihak berkaitan dapat memantau aktiviti pembalakan di situ.

"Macam mana kami hendak mendapat bekalan air bersih jika pembalakan terus bermaharajalela," soalnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Khalil Che Muda berharap, kerajaan negeri dapat memastikan penduduk mendapat hak mereka dan bukan menerima air kotor setiap hari.

Sementara itu. Penyelaras Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau kecewa dengan nasib yang dihadapi oleh penduduk terlibat dan berharap kerajaan negeri yang menjadikan slogan negeri kebajikan dapat datang membantu.

Beliau secara sinis berkata, masalah air kotor yang berterusan sejak beberapa tahun akibat kesan pembalakan boleh memberi jawapan kepada sikap kerajaan negeri itu sendiri. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment