My Add

Friday 20 January 2012

Akta Hasutan: Karpal Singh diperintah untuk membela diri

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA, JUMAAT, 20 Januari, 2012: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan peguam terkemuka, Karpal Singh membela diri terhadap tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Maarop yang bersidang bersama Hakim Datuk Clement Allan Skinner dan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwa raya.

Hakim Ahmad (kini hakim Mahkamah Persekutuan) ketika membacakan penghakiman bertulisnya berpendapat, Karpal wajar dipanggil membela diri selepas panel itu berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pada hemat beliau, perkataan-perkataan yang diucapkan oleh peguam tersebut mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati rakyat terhadap Sultan Perak.

Dengan keputusan tersebut, mahkamah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Jun 2010 yang melepas dan membebaskan Karpal daripada tuduhan tersebut dan mengarahkan kes itu didengar di hadapan hakim yang sama.

Panel itu memerintahkan kes disebut di Mahkamah Tinggi pada 9 Februari depan bagi menetapkan tarikh perbicaraan.

Karpal dituduh mengeluarkan perkataan berunsur menghasut terhadap Sultan Perak di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara 12 hingga 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment