My Add

Saturday 14 January 2012

Amaran hujan lebat di Pahang, Terengganu dan Johor


SEKUMPULAN pemuda menaiki sampan melihat keadaan sekitar kampung mereka yang dilanda banjir setinggi kira-kira satu meter di Kampung Gudang Rasau, Kuantan, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, JUMAAT,Januari, 2012: Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat di beberapa daerah di Pahang, Terengganu dan Johor dijangka berterusan sehingga esok, yang akan menyebabkan banjir di kawasan rendah.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, amaran hujan lebat peringkat jingga itu melibatkan Kuantan, Jerantut, Maran dan Pekan di Pahang; Dungun dan Kemaman (Terengganu) serta Mersing dan Rompin (Johor).

Sementara itu, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang dijangka berterusan sehingga Sabtu, yang juga boleh menyebabkan banjir.

Daerah yang terlibat di Kelantan ialah Kota Baharu, Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang; Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang (Terengganu); Rompin, Temerloh, Lipis, Bera, Bentong, Raub dan Cameron Highlands (Pahang) serta daerah Segamat, Johor.

Di Perlis, daerah yang terlibat adalah Kangar, Padang Besar dan Arau; daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang, Yan, Sik, Kuala Muda, Baling, Kulim, Bandar Baharu dan Langkawi (Kedah); Kerian, Larut Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta (Perak); manakala di Pulau Pinang melibatkan daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Timur Laut dan Barat Daya.

Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 60km/j dengan ketinggian ombak melebihi 5.5 meter yang berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Samui, Tioman, Bunguran, Condore, Reef North dan Layang-Layang, yang dijangka berterusan sehingga esok.

Kawasan pantai di Pantai Timur Semenanjung juga terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut, dan berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Dalam pada itu, jabatan berkenaan turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua apabila angin kencang timur laut dengan kelajuan 50-60km/j dengan ombak mencapai 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Sarawak, Labuan, Sabah (Pedalaman, Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Reef North, Palawan dan Sulu dijangka berterusan sehingga esok.

Keadaan itu berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri. 

409 mangsa banjir di Kuantan dan Pekan dipindahkan

KUANTAN 13 Jan. – Sejumlah 409 orang daripada 113 keluarga di daerah Kuantan dan Pekan dipindahkan selepas kawasan penempatan mereka dinaiki air.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, setakat 9 pagi ini, daerah Pekan mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 246 orang daripada 65 keluarga dari Kampung Cenderawasih Sungai Miang dan mereka ditempatkan di Sekolah Sinar Mutiara, Pekan.

"Selebihnya melibatkan lima penempatan di daerah Kuantan iaitu di Batu 6 Jalan Gambang, Kampung Cendering, Kampung Seri Damai, Kampung Jaya Gading dan Kampung Paya Pancing,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kesemua 163 orang daripada 48 keluarga yang terjejas akibat banjir itu ditempatkan di tiga pusat pemindahan iaitu Dewan Orang Ramai Panching, Dewan Orang Ramai Seri Damai dan Sekolah Menengah Pandan.

Sementara itu, dua jalan utama iaitu Km30 dan Km36 Jalan Kuantan-Sungai Lembing serta Jambatan Kampung Sungai Kolek, Sungai Lembing ditutup kepada semua kenderaan selepas digenangi air setinggi 1 meter. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment