My Add

Saturday 7 January 2012

Anakanda Sultan Johor tamat latihan Inspektor Percubaan

KUALA LUMPUR, SABTU, 07 Januari, 2012: Meskipun memegang status sebagai anakanda Sultan Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim tidak diberi pengecualian ketika mengikuti kursus latihan Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini sepanjang sembilan bulan lepas.

“Saya dilayan seperti pelatih lain, makan bersama, tidur sebilik dengan 33 pelatih lain dan berkongsi bilik air,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih Inspektor Siri 1/2011 di Pulapol hari ini.

Tunku Abdul Jalil, 21, anakanda keempat daripada enam beradik, adalah antara 960 pelatih yang tamat latihan itu, yang bermula April lepas.

Turut menyaksikan majlis itu Sultan Johor dan Sultanah Johor, Raja Zarith Sofia.

Tunku Abdul Jalil berkata tidak ada layanan istimewa yang diterima sebaliknya beliau melakukan setiap aktiviti sama seperti pelatih lain.

"Walaupun pada mulanya saya tidak biasa kerana berbeza dengan kehidupan sebenar sebagai anakanda sultan, saya tidak kisah dan meneruskan (latihan).

"Saya juga dihukum seperti mana pelatih lain jika melakukan kesalahan,” katanya yang berhasrat menceburi bidang kepolisan setelah menamatkan pengajian dalam bidang Zoologi dan Pemuliharaan di United Kingdom.

Menurutnya, latihan yang diikutinya bukan mudah, namun atas bantuan dan sokongan pelatih lain, beliau dapat menamatkan latihan itu.

Tunku Abdul Jalil, satu-satunya anakanda Sultan Johor yang menyertai bidang kepolisan, berkata menjadi anggota polis adalah cita-cita beliau.

Sambil menyatakan kesediaan bertugas di mana-mana negeri, Tunku Abdul jalil berkata penyertaannya dalam bidang itu adalah cara beliau mengucapkan terima kasih serta membalas budi Polis DiRaja Malaysia yang selama ini menjaga keselamatan kerabat diraja dan rakyat Johor. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment