My Add

Tuesday 10 January 2012

Anwar bebas tuduhan liwat


ANWAR Ibrahim diiringi, Wan Azizah Wan Ali tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi di Jalan Duta bagi mendengar keputusan kes tuduhan liwat terhadap Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR, SELASA, 10 Januari, 2012: Dalam satu keputusan yang mengejutkan, Mahkamah Tinggi di sini semalam melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di sebuah kondominium di ibu negara pada 2008.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari selain tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Menurut beliau, selepas meneliti bahan bukti, mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada saksi pendakwa pertama, iaitu Mohd. Saiful Bukhari tidak terjejas.

Ini katanya, menyebabkan mahkamah hanya mempunyai keterangan Mohd. Saiful Bukhari.

Namun beliau berkata, bagi kesalahan seksual di peringkat kes pembelaan, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan kepada keterangan Mohd. Saiful Bukhari tanpa bukti sokongan lain.

‘‘Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan,’’ ujar Hakim Mohamad Zabidin mengakhiri penghakiman ringkasnya yang memakan masa hanya tiga minit untuk dibaca sebelum beliau tanpa berlengah lagi terus masuk ke kamar hakim.

Galeri awam yang penuh sesak dengan ahli keluarga dan penyokong-penyokong Anwar sehingga ada yang berdiri menyambut keputusan tersebut dengan sorakan gembira.

Anwar yang sebelum itu kelihatan lesu dan terdapat tanda-tanda kerisauan, berubah ceria dan melemparkan senyuman sebelum memeluk isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Anak-anak mereka turut mengambil kesempatan memeluk bapa dan ibu mereka sambil menitiskan air mata.

Kesemua anak pasangan itu iaitu Nurul Izzah yang merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Nuha, Nurul Ilham, Nurul Iman, Nurul Hana dan anak tunggal lelaki mereka, Mohd. Ihsan hadir ke mahkamah.

Turut hadir ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S. Ambiga; dan Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said selain perwakilan-perwakilan asing.

Hampir 4,000 penyokongnya turut hadir memenuhi tempat meletak kereta di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sejak pukul 6.15 pagi.

Anwar, 64, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Beliau pernah dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2000 setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar tetapi empat tahun kemudian, hukuman dan sabitan tersebut berjaya diketepikan di Mahkamah Persekutuan pada 5 September 2004.

Sementara itu, Anwar ketika dikerumuni media di pekarangan mahkamah mengucapkan rasa syukur atas keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

Beliau yang menyifatkan bahawa keputusan tersebut telah ‘membersihkannya’ daripada tuduhan yang mengaibkan selain turut membayangkan akan terus melakukan reformasi pada pilihan raya umum yang akan datang.

Mahkamah dalam keputusannya di akhir kes pendakwaan pada 16 Mei tahun lalu memerintahkan Anwar membela diri atas tuduhan tersebut selepas mendapati Mohd. Saiful Bukhari adalah saksi yang benar dan keterangannya boleh dipercayai.

Anwar kemudian memilih untuk memberi keterangan tanpa mengangkat sumpah di kandang tertuduh dengan hanya membacakan kenyataan yang antara kandungannya adalah hanya menafikan melakukan perbuatan seperti yang didakwa selain menuding jari kepada hakim yang didakwa menyebabkannya tidak mendapat perbicaraan secara adil. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment