My Add

Monday 9 January 2012

Anwar harap Azmin PM

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

KUALA LUMPUR, ISNIN, 09 Januari, 2012: Keengganan Datuk Seri Anwar Ibrahim menamakan individu yang akan dilantik sebagai Perdana Menteri sementara sekiranya beliau didapati bersalah dalam kes liwatnya menunjukkan Ketua Pembangkang itu tidak mempercayai pemimpin pembangkang lain.

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Nor berkata, beliau mendapat maklumat daripada sumber dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri bahawa Anwar mengharapkan Timbalan Presidennya, Azmin Ali dilantik memegang jawatan tersebut.

"Bagaimanapun Azmin bukanlah pilihan dalam kalangan pemimpin pembangkang lain, malah dalam PKR sendiri pun beliau tidak digemari kerana hubungan terlalu istimewanya dengan Anwar.

"Tetapi bagi Anwar pula, Azmin adalah individu yang paling dipercayainya sekiranya beliau mahukan jawatan Perdana Menteri itu kerana pemimpin pembangkang lain sudah pasti tidak akan menyerahkan semula kepadanya jika pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kemelut terbaru dalam pembangkang yang kini sedang mencari calon paling layak menggantikan Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau didapati bersalah dalam kes liwatnya dan jika pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang.

Minggu lalu, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mencadangkan supaya Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Perdana Menteri kerana kedua-duanya adalah calon paling layak dan berkemampuan.

Menurut Ezam, apa yang direncanakan oleh Anwar itu membuktikan bahawa beliau sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan jawatan Perdana Menteri kekal miliknya.

Kata beliau, Anwar juga perlu memperlihatkan kepada dunia bahawa beliau masih lagi berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri kerana hanya menerusi cara itu beliau dapat mengekalkan sokongan dari dalam dan luar negara.

"Tetapi bagi mereka yang waras, apa dilakukan ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan hanya membayangkan sikap terdesak dan gila kuasa beliau untuk menjadi Perdana Menteri," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment