My Add

Saturday 21 January 2012

Anwar sentuh lagi isu undang-undang didakwa ‘lapuk’?

KUALA LUMPUR, SABTU, 21 Januari, 2012:  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi menyentuh isu undang-undang yang didakwa lapuk sebagaimana dinyatakan beliau dalam wawancara bersama stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC), minggu lalu.

Isu itu telah mencetuskan kegemparan dan mendapat reaksi pelbagai pihak.

Beliau mengulangi isu yang sama ketika berucap pada majlis kesyukuran pembebasannya daripada tuduhan liwat di kediamannya di Segambut Dalam di sini, semalam.

Laporan itu telah disiarkan di dalam portal propembangkang Malaysiakini, semalam.

Berikut adalah sedutan laporan dari laman www.malaysiakini.com yang disiarkan hari ini :

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya undang-undang yang didakwanya digunakan untuk mengaibkan seseorang, dipinda termasuk peruntukan dalam seksyen 377 (B) dan 377 (C) Kanun Keseksaan.

Katanya, pindaan tersebut perlu dibuat bagi memastikan supaya ia tidak digunakan untuk menghina seseorang, khususnya terhadap musuh dalam politik.

“Memang undang-undang yang ada 377(B) ka, C ka, ini memang archaic (lapuk). Digunakan untuk aibkan orang. Digunakan untuk musuh politik.

"(Orang) tanya saya, bila kita berkuasa, boleh kita pinda. Ya, saya akan pinda. Apa pasal tidak boleh pinda undang-undang yang ada sekarang. Kita pinda supaya pastikan ia tidak bermaksud untuk menghina orang,” katanya.

Anwar turut menempelak pihak tertentu yang mempertahankan undang-undang yang didakwanya “jumud” digunakan untuk memfitnah seseorang.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya malam tadi bagi mengulas kontroversi wawancaranya dengan BBC yang dilaporkan minggu lalu sehingga beliau dituduh menyokong homoseksual.

Rangkaian itu meminta Anwar menyatakan pendirian sama ada beliau bersedia memperjuangkan ‘idea anti-diskriminasi’ terhadap kumpulan itu dan menegaskan masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita.

“Tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan,” kata Anwar dalam temu bual dengan BBC itu.

Bercakap di majlis kesyukuran sempena pembebasannya daripada tuduhan liwat pada 9 Januari lalu, Anwar menegaskan kenyataannya bahawa Islam dan bukan Islam menyokong perkahwinan lelaki dan perempuan menjawab perbuatan seks bebas, homoseksual dan lesbian.

Anwar yang juga bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berkata, umat Islam tidak boleh menghukum seseorang melakukan “perselingkuhan” kecuali ia dilakukannya di hadapan umum.

“Orang berkata, itu kalau di tempat persendirian? Kamu tahu mana?... Bukan mengendap atau merobek privasi orang, tidak boleh,” tegasnya di hadapan tetamu yang hadir di kediamannya, di Segambut Dalam, malam tadi.- Malaysiakini

Sebagai rujukan, Seksyen 337 (B) berbunyi barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

Seksyen 377 (C) pula berbunyi barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seseorang lain tanpa kerelaannya, atau bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment