My Add

Monday 9 January 2012

APMM kurangkan kerugian akibat pencerobohan nelayan asing

PASIR GUDANG, ISNIN, 09 Januari, 2012: Pemantauan berterusan perairan negara oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mengurangkan pencerobohan bot nelayan asing, kata Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish. 

Beliau berkata, kerugian yang dialami akibat aktiviti penangkapan ikan oleh nelayan asing itu berkurangan daripada RM3 bilion sebelum penubuhan APMM pada 2006 kepada hanya RM10 juta setahun sekarang.

"Nelayan asing selalunya masuk ke perairan kita pada musim tengkujuh untuk menangkap ikan tetapi berikutan pemantauan berterusan APMM aktiviti itu sudah berkurangan," katanya selepas pelancaran Program Komuniti 'Maritim Eyes And Ears At Sea (EYES)' antara APMM dan Persatuan Pengusaha Bunkering Johor (J-Bunkering) di Tanjung Langsat di sini, hari ini yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, usaha berterusan itu berjaya memastikan tiada bot nelayan asing yang berani masuk ke perairan negara dalam lingkungan garisan 100 batu nautika dari pantai. 

Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, agensi itu akan mendapat 18 buah bot pemintas pada tahun ini bagi menambah 246 bot dan kapal yang dimilikinya sekarang. 

“Bot itu akan ditempah daripada sebuah syarikat tempatan membabitkan anggaran kos lebih RM140 juta,” katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment