My Add

Tuesday 10 January 2012

APMM rampas 10kg ganja, tahan 4 lelaki

ALOR SETAR, SELASA, 10 Januari, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup 10 ketulan ganja mampat bernilai lebih RM25,000 dan menahan empat lelaki dalam satu operasi di persisir pantai Kuala Jerlun, dekat sini tengah hari semalam. 

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu bot peronda APMM mengesan dua bot kayu tanpa nombor pendaftaran dipercayai dalam perjalanan dari perairan Thailand bersama masing-masing dua warga tempatan dan rakyat negara itu yang berusia antara 30 dan 45 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara, Laksamana Pertama Maritim Tan Kok Kwee, berkata ketika ditahan mereka berada kira-kira 200 meter dari pantai Kuala Jerlun dipercayai sedang menunggu pihak tertentu untuk menyerahkan dadah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan kita menemui 10 ketulan ganja mampat yang dimasukkan dalam guni dalam bot pertama, manakala dalam sebuah lagi bot sejumlah kecil dadah jenis sama ditemui disorokkan. 

"Semua ganja berkenaan yang beratnya kira-kira 10 kilogram mempunyai nilai pasaran lebih RM25,000," katanya di sini hari ini. 

Beliau berkata, pihaknya percaya dadah itu yang dibawa dari negara jiran terbabit adalah untuk pasaran sekitar negeri ini dan Pulau Pinang. 

Perairan negeri ini kerap dijadikan laluan untuk menyeludup dadah jenis ganja terutama dari negara jiran berikutan pemeriksaan di laluan darat semakin ketat. 

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. Keempat-empat suspek ditahan reman selama seminggu sehingga Isnin depan.

No comments:

Post a Comment