My Add

Wednesday 11 January 2012

APMM Tawau tahan 50 pendatang, rampas barangan kawalan

TAWAU, RABU, 11 Januari, 2012: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menahan 50 pendatang asing tanpa izin dan merampas barangan kawalan dalam operasi agensi itu di Pulau Larapan, Semporna. 

Menurut kenyataan APMM Tawau di sini hari ini, kesemua pendatang itu ditahan hasil pemeriksaan ke atas sebuah bot jenis Kumpit yang dipercayai dalam perjalanan ke negara jiran kira-kira jam 9.55 malam, Isnin lalu.

Ketika pemeriksaan dilakukan, vesel berkenaan dipercayai dalam perjalanan menuju ke Filipina dengan membawa 47 penumpang dan tiga awak-awak bot yang disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta seorang pemilik bot warganegara Malaysia yang hanya menunjukkan lesen memandu sebagai dokumen rasmi.

Kenyataan itu menyatakan bot Kumpit itu juga didapati tidak diwartakan sebagai bot penumpang seperti dikehendaki mengikut undang-undang Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS). 

Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan membawa kepada penemuan 30 tong minyak diesel dengan setiap tong mengandungi 30 liter yang cuba diseludup keluar dari negara ini. 

"Juragan bersama awak-awak dan semua penumpang ditahan kerana masing-masing disyaki menyalahgunakan lesen, melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961. Kesemua penumpang dan bot dibawa ke Tawau untuk siasatan dan tindakan selanjutnya," menurut kenyataan itu. - BERNAMA 


No comments:

Post a Comment