My Add

Monday 9 January 2012

Azmin Ali berbohong

MOHMAD Salleh menunjukkan dokumen ditandatangani oleh Shamsul Iskandar Mohd. Akin mengenai syarat ditetapkan polis bagi perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
 Oleh ANGELINA SINYANG 

KUALA LUMPUR, ISNIN. 09 Januari, 2012: Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali telah berbohong apabila mendakwa polis tidak mengenakan sebarang syarat ketika memberi persetujuan membenarkan perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 diadakan di tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini, hari ini.

Jelas beliau, sebenarnya syarat-syarat yang polis berikan sebagaimana yang disiarkan dalam blog dan akhbar hari ini merupakan perkara yang telah dipersetujui bersama semasa perbincangan antara lima pemimpin PKR dan pihaknya kelmarin.

Katanya, syarat-syarat itu juga sudah diterima dan diserahkan kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang dilantik sebagai komander memimpin perhimpunan tersebut oleh Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan dalam pertemuan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini, semalam.

"Jadi bagi saya penafian Azmin adalah tidak benar. Memang saya kecewa kerana dia tidak gentleman, tidak jujur dan tidak amanah apabila mengadakan perjumpaan dengan kita pada Jumaat lalu.

"Saya kesal dengan kelakuan dan pembohongan dia (Azmin) kerana semasa dia bercakap (setuju terima syarat) kita ada saksi iaitu lima wakil PKR dan lima wakil kita (polis).

"Kita ada benda yang kita sudah persetujui bersama. Jadi, bagi saya dia telah mengingkari perjanjian itu dan dalam soal ini, dia (Azmin) tidak jujur," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, semalam.

Azmin semalam, mendakwa polis tidak mengenakan sebarang syarat ketika mereka bersetuju membenarkan perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 diadakan di tempat letak kereta Kompleks Jalan Duta hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Mohmad di IPK Kuala Lumpur yang mana beliau telah memberi jaminan perhimpunan tersebut akan berjalan secara aman, manakala polis mengenakan 10 syarat bagi perhimpunan itu termasuk larangan membawa sepanduk, pembesar suara dan ucapan awam.

Bagi membuktikan polis bercakap benar, Mohmad telah menunjukkan salinan 10 syarat yang diberi kepada Shamsul Iskandar yang sudah ditandatangani selepas dipersetujui dan beberapa keping foto rakaman penyerahan syarat tersebut di IPD Sentul semalam.

Menurut Mohmad, Azmin tidak pernah menghubunginya selepas pertemuan kelmarin dan beliau sendiri sudah tidak mahu lagi berjumpa dengan Timbalan Presiden PKR itu.

"Kalau dia nak jumpa, saya tak nak jumpa dia dah. Buat apa jumpa orang yang berbohong... Buang masa. Saya tidak mahu jumpa orang yang tidak memegang janji dan tidak jujur pada janji," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohmad sekali lagi menegaskan, antara syarat diterima dalam surat yang diserahkan adalah perhimpunan hanya dibenar diadakan di tempat letak kereta Kompleks Jalan Duta yang boleh memuatkan 5,000 orang.

Selain itu, katanya, Azmin dalam perjumpaan kelmarin telah memberi jaminan bahawa perhimpunan akan diadakan secara aman bagi menyahut semangat perhimpunan yang diluluskan baru-baru ini.

"Kita sudah bersiap sedia menghadapi apa sahaja kemungkinan jika syarat-syarat ini tidak dipatuhi. Kalau tempat letak kereta sudah penuh mereka dikehendaki beredar," katanya.

Mohmad turut menasihatkan penganjur supaya tidak membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan tersebut kerana bimbang membahayakan keselamatan mereka jika berlaku kejadian tidak diingini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment