My Add

Thursday 19 January 2012

Azwan Ali, Ummi Hafilda berdamai

AZWAN Ali dan Ummi Hafilda Ali memegang surat akujanji pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 19 Januari, 2012: Bekas pengacara televisyen, Azwan Ali semalam secara rasmi berdamai dengan adiknya, Ummi Hafilda dengan pengakuan bersumpah secara terbuka berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan mengugut adiknya itu pada satu sidang akhbar di sini.

Tindakan itu sekali gus menamatkan isu ugutan jenayah dan 'persengketaan' antara dua beradik itu yang berlarutan selama tujuh tahun.

Ia mendorong Ummi Hafilda untuk menarik balik laporan polis yang dibuatnya Jumaat lalu di Balai Polis The Curve, Damansara Utama petang ini.

Pada sidang akhbar bersama Ummi Hafilda, Azwan membaca akujanjinya yang kedua dengan memohon maaf secara terbuka kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad dan keluarga atas tweetnya yang dipercayai menyinggung keluarga bekas Perdana Menteri itu.

Azwan pada akuan bersumpah yang keduanya terlebih dahulu memohon maaf kepada pengikut Twitter beliau atas tindakannya untuk menghentikan segala kenyataan daripada pengikut dalam laman sosial itu berunsur menghina, mengaibkan atau melakukan serangan peribadi atas mana-mana pihak.

Antara kandungan akujanji yang dilafazkan Azwan adalah seperti berikut: ''Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Bahawa mulai dari saat ini, 18 Januari 2012, saya tidak akan menghina, mengeji, mengaibkan dan melakukan serangan-serangan peribadi yang mungkin membawa kepada fitnah dahsyat terhadap Ummi Hafilda dengan segala perkataan kesat dan keji yang tidak sepatutnya dan sewajarnya keluar daripada mulut seorang abang.

''Sebagai manusia, saya akui saya hamba yang lemah dan tidak lari daripada melakukan kesilapan dan saya akui saya telah terkhilaf dalam membuat andaian-andaian yang negatif terhadap Ummi Hafilda semata-mata hanya bersandarkan daripada hasil hasutan manusia tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda tersembunyi yang saya mungkin tidak sedar ketika itu.

''Sebagai abang, saya akui Ummi Hafilda bukanlah wanita keji yang digambarkan musuh politik beliau melalui fitnah dajal selama ini.

Azwan ditahan polis bagi membantu siasatan selepas Ummi Hafilda membuat laporan polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang mendakwa abangnya itu membuat ugutan untuk membunuh dan membakarnya melalui laman sembang Twitter.

Azwan dalam pada itu berkata, tindakannya memohon maaf kepada adiknya dipercayai hasil tindakannya berdoa memohon petunjuk Allah bersama lebih 70 anak yatim pada satu majlis kenduri yang berlangsung Ahad lepas.

Sementara itu, Ummi Hafilda berkata, beliau akan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap abangnya.

Ummi Hafilda dalam pada itu turut mengulangi rayuan kepada abangnya, Azmin supaya kembali ke pangkuan keluarga dan meninggalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment