My Add

Sunday 15 January 2012

'Badan bebas pilihan raya tidak perlu'

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

KANGAR, AHAD, 15 Januari, 2012: Malaysia tidak memerlukan sebuah badan bebas untuk mengatasi beberapa kelemahan yang wujud dalam sistem pilihan raya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan begitu baik setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, SPR merupakan sebuah suruhanjaya yang menjalankan tanggungjawab sebagai badan bebas walaupun mempunyai hubungan rapat dengan pihak-pihak yang berkaitan dengan pilihan raya.

"Setakat ini saya tidak nampak perlu (badan bebas), saya fikir tidak sesuai kerana proses pilihan raya berjalan dengan betul," kata beliau selepas menghadiri Program Jalinan Mesra Rakyat di Dewan 2020 di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Muhyiddin mengulas laporan akhbar hari ini mengenai saranan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman supaya kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya kepada SPR untuk melaksanakan tanggungjawabnya tanpa berkongsi kuasa dengan mana-mana agensi atau mewujudkan sebuah badan bebas bagi memastikan pilihan raya dapat memuaskan hati semua pihak.

Laporan itu juga menyebut bahawa pemberian kuasa penuh kepada SPR atau badan berkenaan dapat mengatasi beberapa kelemahan yang wujud dalam sistem pilihan raya terutama membabitkan undang-undang dan peraturan.

Muhyiddin berpendapat undang-undang yang ada mencukupi, malah negara mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang memberikan pelbagai maklum balas kepada SPR untuk dilaksanakan.

"Sebaliknya jika undang-undang sedia ada tidak mencukupi, terserahlah kepada pihak berkuasa untuk melihatnya, tetapi bagi saya tak perlu ada badan lain," tambah beliau.

Bagaimanapun katanya, saranan seumpama itu akan diteliti oleh kerajaan yang sentiasa terbuka dalam menerima pendapat atau maklum balas daripada pelbagai pihak. - MM

No comments:

Post a Comment