My Add

Wednesday 18 January 2012

Bahaya bekam tidak bersih

Oleh AZRAN FITRI RAHIM dan HAPIZAH AZIZ

KOTA BHARU, RABU, 18 Januari, 2012: Orang ramai yang berhasrat untuk berbekam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana peralatan seperti jarum yang digunakan dalam rawatan tersebut boleh menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya termasuk HIV dan AIDS.

Pensyarah Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Prof. Dr. Ab. Aziz Al-Safi Ismail berkata, ini disebabkan tahap kebersihan peralatan yang digunakan oleh pembekam tidak diketahui, malah ada menggunakan jarum sama berulang kali.

Beliau berkata, berbekam sememangnya diakui mempunyai pelbagai kebaikan tetapi cara yang tidak bersih akan menyebabkan pelbagai penyakit tersebar.

“Kini, perkhidmatan berbekam banyak ditawarkan tetapi kita harus bijak memilih yang benar-benar mengutamakan kebersihan. Ini kerana peralatan seperti jarum, pisau atau cawan yang tidak dibersihkan setelah digunakan ke atas individu yang mengalami pelbagai penyakit akan menyebarkan kuman kepada orang lain.

“Saya berharap pengamal perubatan alternatif ini supaya bertanggungjawab dan memastikan peralatan yang digunakan benar-benar bersih supaya penyakit tidak disebarkan kepada orang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Ab. Aziz mengetuai lima pakar dari universiti tersebut yang sedang menjalankan kajian secara saintifik mengenai kebaikan berbekam mengikut kaedah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Kajian itu bermula awal bulan ini dan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Kata Ab. Aziz lagi, kajian itu melibatkan 90 individu yang akan berbekam setiap empat bulan sekali dalam tempoh tersebut.

“Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan. Pertama, 30 individu yang sihat; kedua (30 individu penghidap diabetes) dan ketiga (30 penghidap darah tinggi). Kita juga memilih 30 individu yang sihat tetapi tidak melakukan bekam untuk dibandingkan dengan ketiga-tiga kumpulan terbabit bagi mendapatkan keputusannya,” katanya.

Ujarnya, keputusan pertama akan diketahui pada April ini tetapi pihaknya akan terus memantau sehingga kajian yang ditaja Kementerian Pengajian Tinggi itu berakhir dalam tempoh dua tahun.

“Berbekam mempunyai banyak teknik, sebagai contoh, masyarakat Cina menggunakan kaedah akupuntur. Kali ini kita menjalankan kajian berbekam mengikut kaedah yang diamalkan oleh Rasulullah sejak lebih 1,000 tahun lalu bagi mendapatkan keputusan secara saintifik,” katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment