My Add

Monday 16 January 2012

Bantu keluarga miskin - Sultan Kedah

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

ALOR SETAR, ISNIN, 16 Januari, 2012: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini menyeru agar kerajaan negeri mempergiatkan usaha dalam menyalurkan bantuan kepada golongan miskin di negeri itu.

Tuanku Abdul Halim bertitah, masih terdapat 17,000 keluarga miskin di negeri itu sehingga 31 Oktober tahun lepas yang memerlukan bantuan.

Titah baginda, pelbagai bantuan kepada golongan tersebut boleh disalurkan secara bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Zakat atau penglibatan syarikat korporat.

"Beta menyeru agar kerajaan beta menyalurkan bantuan kepada keluarga miskin dalam pelbagai bentuk bantuan am," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim bertitah demikian pada majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah serta Bintang Kebesaran sempena Hari Ulang Tahun Keputeraan baginda Yang Ke-84 di Istana Anak Bukit, di sini semalam.

Teks titah baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Bendahara Kedah, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tuanku Abdul Halim berharap, pelbagai program pembangunan dalam semua aspek kehidupan yang telah dan sedang direncanakan oleh kerajaan negeri itu dapat menyediakan suasana persekitaran yang baik untuk penduduknya.

Baginda turut menyeru agar semua pihak komited dalam menjalankan tugas selain bersikap ikhlas, amanah dan telus dalam mengendalikan semua urusan pentadbiran negeri.

"Untuk memastikan dasar ini dapat dilaksanakan beta menyeru kepada seluruh barisan kepimpinan kerajaan, anggota pentadbiran dan seluruh rakyat supaya beriman.

"Jentera pentadbiran dan pengurusan negeri yang cekap dan berkesan amat penting bagi merancang dan melaksanakan dasar serta program kerajaan beta," titah baginda.

Titah baginda lagi, anggota perkhidmatan awam kerajaan perlu berpegang teguh kepada konsep amanah yang merupakan asas kepimpinan berintegriti. - UTUSAN


No comments:

Post a Comment