My Add

Wednesday 11 January 2012

Bapa Saiful minta Peguam Negara rayu keputusan

Azlan Mohd Lazim
PETALING JAYA, RABU, 11 Januari, 2012: Azlan Mohd Lazim hari ini memohon Pejabat Peguam Negara supaya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas lepas dan melepaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada dakwaan meliwat anaknya, Mohd Saiful Bukhari, pada Isnin kelmarin.

"Demi anak saya, saya merayu agar pihak Peguam Negara memfailkan rayuan.

"Saya harap pihak Peguam Negara tidak terpengaruh dengan desakan Majlis Peguam atau mana-mana pihak agar tidak mengemukakan rayuan,” katanya pada sidang media di kediamannya di Bandar Utama di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Majlis Peguam , Lim Chee Wee yang menyarankan Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu pada Isnin lepas.

Azlan, 58, berkata tindakan Majlis Peguam dilihat sebagai langkah untuk menidakkan hak seseorang warganegara diadili dan didengar rayuannya sehingga ke peringkat tertinggi menurut Perlembangaan Persekutuan.

"Majlis Peguam seharusnya bersikap “neutral” (berkecuali) dalam melihat suatu proses keadilan berlangsung dan bukannya dengan menghalang proses keadilan berlangsung.

"Adakah gesaan itu melambangkan pendirian semua peguam-peguam di Malaysia atau hanya pendirian individu-individu tertentu yang menduduki kerusi Majlis Peguam yang berkepentingan politik?,” katanya.

Azlan turut mempersoalkan mengapa Majlis Peguam tidak pernah membantah tindakan Anwar, yang telah mengemukakan rayuan atau permohonan sebanyak 36 kali sepanjang tempoh perbicaraan.

"Ini baru pertama kali pihak kami mohon untuk buat rayuan, sudah mahu dihalang. Mengapa ada ”double standard” (pilih kasih)?

"Adakah kerana anak saya hanya seorang insan kerdil, bukan seorang VIP, ahli politik, hak beliau dinafikan dengan begitu sahaja?,” katanya.

Azlan berkata sebagai bapa, beliau akan terus bersama Mohd Saiful Bukhari, 26, untuk berjuang mendapatkan keadilan buatnya.

Jika tiada sebarang perkembangan daripada Pejabat Peguam Negara dalam tempoh 14 hari, beliau berkata keluarganya akan mengambil tindakan selanjutnya yang perlu demi membela maruah keluarga dan Mohd Saiful Bukhari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment